SEREMBAN – Datuk Mubarak Dohak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.
Ia dibuat berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim, selepas mendapat persetujuan serta keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.
Kenyataan itu menyusul selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta semua anggota Dewan Keadilan dan Undang sudah menerima pemberhentian Mubarak pada 17 April lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata, penerimaan pemberhentian Mubarak itu dilakukan pada satu sidang khas Dewan Keadilan dan Undang di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah selepas 33 sebab dibentangkan.
Aminuddin memberitahu Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan mengadakan sidang khas dan memutuskan untuk menasihatkan Luak Sungei Ujong menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
19 April
Undang Yang Empat mengisyhtiharkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilucutkan jawatan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berkuatkuasa serta merta.
20 April
Aminuddin Harun mengeluarkan kenyataan media menolak pengisytiharan Undang Yang Empat tersebut dan menganggapnya sebagai tidak sah dengan alasan Mubarak yang membacakan pengisytiharan itu didakwa bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong.
23 April
Tuanku Muhriz merasmikan istiadat pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-15. Selepas majlis perasmian Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman mengumumkan persidangan ditangguhkan hingga ke tarikh yang akan ditentukan kemudian.
27 April
BN umum menarik sokongan terhadap Aminuddin Harun
27 April
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan daripada Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri serta kelangsungan pentadbiran.
30 April
Balai Undang Sungei Ujong, dekat Ampangan, di sini, diarah dikosongkan.
Surat bertarikh 29 April itu dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan ditujukan kepada Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.
4 Mei
ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri bersama Adun Labu Hanifah Abu Baker yang juga ketua pembangkang mengumumkan langkah berkecuali dengan tidak menyokong perubahan kerajaan negeri, susulan tindakan 14 Adun Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
Sebelum ini, media melaporkan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) diketuai Ketua Bersatu negeri merangkap Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO/BN.
5 Mei
Datuk Mubarak Thahak bersama lima yang lain memfailkan saman pemula untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan yang diadakan pada 17 April lalu.
Mereka memohon perintah agar minit hasil mesyuarat yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan diserahkan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.
6 Mei
Tiada kerajaan minoriti di Negeri Sembilan susulan keputusan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang diadakan semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri kekal berfungsi seperti biasa dan tidak timbul isu perubahan status pentadbiran.
20 Mei
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada tahun ini, namun perkara itu masih pada peringkat pertimbangan.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata perkara yang turut diteliti ialah kemungkinan mengadakan PRN secara serentak dengan negeri jiran, iaitu Melaka dan Johor.
4 Jun
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembubaran DUN dibuat mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 selepas beliau memperoleh perkenan baginda.
5 Jun
Notis rasmi telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
5 Jun
Krisis Istiadat Diraja: Kemelut perlembagaan tercetus apabila sebahagian pembesar adat (DKU) cuba melucutkan takhta Tuanku Muhriz bersandarkan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan mendakwa telah memasyhurkan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yamtuan Besar yang baharu di Melaka. – KOSMO! ONLINE














