ALOR GAJAH – Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dimasyhurkan oleh Undang Yang Empat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.
Pertabalan tersebut diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami berkenan memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta.
“Bersesuaian dengan pengisytiharan Undang Yang Empat yang dilakukan pada 19 April 2026. Sekian dimaklumkan,” katanya ketika pengisytiharan tersebut.
Pengisytiharan itu kemudiannya disambut Tunku Nadzaruddin.
“Bahawasanya beta Tuanku Nadzaruddin menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan dan pemasyhuran beta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12,” katanya.
Majlis kemudian disusuli dengan bacaan doa dan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh tetamu yang hadir termasuk Tokoh Budaya dan Adat Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim. – KOSMO! ONLINE














