TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar tampil mempertahankan tindakan mempersoalkan pemberian satu slot naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang kini disandang oleh Datuk Ab Ghani Hassan.
Shahril berpendapat berkata, beliau tidak berniat untuk menafikan Ab Ghani berada dalam pucuk pimpinan FAM sebaliknya merasakan jawatan Ahli Jawatankuasa sudah memadai berbanding naib presiden.
“Artikel 79 secara asasnya menyatakan FAM perlu menyelia kerana mereka adalah pemilik liga, namun mereka berikan kepada MFL untuk uruskan. Pemahaman saya, semua tiga jawatan naib presiden perlu dipertandingkan.
“(Setiausaha Agung AFC) Datuk Seri Windsor Paul John ada pendapat berbeza, jika saya mahu berhujah, saya boleh tetapi saya tidak mahu berbuat demikian, nanti orang kata saya tidak faham bahasa
“Secara amnya, statut itu sangat positif, tiada isu, tetapi terdapat beberapa persoalan mengenai artikel yang saya bangkitkan. Jika kamu tanya, saya kekal sama, saya tidak bersetuju Presiden MFL mendapat ‘laluan’ untuk jawatan naib presiden, paling tidak pun sepatutnya di peringkat Exco,” katanya.
Shahril juga menjelaskan beliau tidak meminta Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) menyokong hujahnya namun mahu setiap daripada mereka menyatakan apa kemahuan masing-masing.
“Ia menjadi tugas yang sukar kepada siapa pun yang ambil alih, seolah-olah satu organisasi yang perlukan transformasi penuh, jadi kita kena ada seorang ketua yang kuat untuk memacu semua ini. Saya tidak perlukan sokongan (menyokong hujahan yang diutarakan), kamu (FA negeri) kena berdiri untuk diri mereka sendiri.
“Kalau tidak mahu benda-benda sekarang jadi lagi, kamu kena pilih orang yang betul. Tetapi positifnya, AFC mahu ‘pegang tangan’ kita, mereka akan bantu kita dalam tempoh 24 bulan ini untuk memacu transformasi,” katanya.














