fbpx
IRAOLA dilantik sebagai pengendali baharu Liverpool bagi menggantikan Slot yang dipecat minggu lalu. - AFP

EPL: Iraola sedar jangkaan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIVERPOOL – Pengendali baharu Liverpool, Andoni Iraola mengakui memahami jangkaan yang diletakkan kepadanya, namun bersedia menghadapi cabaran baharu selepas menerima jawatan sebagai pengurus kelab itu.

Iraola, 43 tahun telah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk menggantikan Arne Slot yang dipecat selepas hanya setahun selepas membimbing Liverpool dan membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Bekas pengurus Bournemouth itu menyertai Liverpool selepas membantu The Cherries mencatat musim terbaik mereka dalam sejarah liga utama England dengan menamatkan saingan di tangga keenam dan layak beraksi di Liga Europa musim depan.

“Sangat teruja. Kerana anda tahu tentang Liverpool. Anda tahu ia sebuah kelab besar, kelab yang sangat besar, salah satu yang terbesar di dunia. Anda tidak memerlukan banyak sebab untuk tertarik kepada Liverpool. Liverpool tetap Liverpool.

“Saya fikir Liverpool memberi saya peluang untuk melatih pemain-pemain terbaik dan pemain terbaik memberi anda peluang untuk bersaing merebut gelaran.

“Sudah tentu apabila anda tiba di sesebuah tempat, anda tidak boleh menjanjikan segalanya, tetapi saya faham ke mana saya datang dan apa yang dijangkakan daripada saya. Saya bersedia untuk cabaran ini,” katanya.

Keputusan untuk memecat Slot dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bola Sepak Fenway Sport Group, Michael Edwards bersama Pengarah Sukan Liverpool, Richard Hughes yang berpendapat bahawa kelab memerlukan gaya permainan yang lebih agresif dan pantas.

Iraola dilantik oleh Bournemouth ketika Hughes masih memegang jawatan pengarah teknikal kelab tersebut, sebelum Hughes meninggalkan Bournemouth pada 2024 untuk menyertai Liverpool.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih RB Leipzig dan Borussia Dortmund, Marco Rose, telah disahkan sebagai pengganti Iraola di Bournemouth.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN