PUCHONG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas panjang cadangan mewujudkan Perikatan Nasional Plus (PN+) yang dikatakan melibatkan kerjasama beberapa parti Melayu menjelang pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, tumpuannya ketika ini adalah terhadap urusan pentadbiran negara, khususnya melibatkan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, pimpinan kerajaan perlu memberi perhatian penuh kepada usaha memulihkan ekonomi serta menyelesaikan masalah rakyat sebelum memikirkan soal pilihan raya.
“Kita ada masa, biar tumpu dua tiga bulan ini betul-betul pulihkan balik, kemudian pilihan raya.
“PN Plus atau minus, saya tak campur, saya banyak kerja lain,” katanya pada sidang akhbar selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Meranti, Puchong di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Pas sedang mengusahakan pembentukan PN+ yang menggabungkan parti komponen sedia ada termasuk Bersatu dan gerakan Reset pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha itu merupakan antara syor Majlis Syura Ulama Pas dan akan diutamakan sebelum parti mempertimbangkan pilihan lain. – KOSMO! ONLINE














