PUCHONG – Krisis melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan disifatkan sebagai sesuatu yang menggusarkan dan berpotensi memberi implikasi besar terhadap kestabilan dan keamanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang usaha menggugurkan atau memansuhkan kedudukan seseorang raja perlu melalui saluran undang-undang dan perlembagaan yang sah.
Katanya, institusi raja mempunyai peraturan, kaedah dan kemuliaan tersendiri yang perlu dipelihara oleh semua pihak.
“Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi raja ini mesti ada peraturannya, kaedahnya dan cara kemuliaannya.
“Menggugurkan atau memansuhkan mana-mana raja akan memberikan implikasi yang sangat besar bagi negara dan keamanan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, di sini hari ini.
Menurut Anwar, walaupun setiap pihak mempunyai hak untuk membawa perkara tersebut melalui saluran yang dibenarkan undang-undang dan hujah yang dikemukakan juga perlu kukuh.
Anwar turut menyifatkan tindakan membuat pengisytiharan berkaitan perkara itu di sebuah hotel sebagai sesuatu yang menjejaskan imej institusi diraja.
“Kita telah beri nasihat, tetapi diteruskan pengisytiharan di sebuah hotel yang saya fikir menjejaskan juga imej dan identiti raja di mata rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan institusi raja walaupun tidak terlibat secara langsung dalam isu berkenaan.
Jelasnya, ketika ini, kerajaan masih mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz. Apa-apa pandangan lain hendaklah dibuat mengikut jalur yang sah mengikut perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu oleh Undang Yang Empat dalam satu istiadat ringkas di sebuah hotel di Alor gajah, Melaka hari ini. – KOSMO! ONLINE














