KLANG – Polis masih menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sama ada pertuduhan ke atas lelaki yang dituduh memandu mabuk dan melawan arus sehingga meragut nyawa penunggang motosikal akan dipinda atau kekal.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kertas siasatan kes tersebut sudah diserahkan kepada TPR untuk tindakan lanjut.
“Kertas siasatan sudah hantar, tunggu arahan lanjut dan keputusan TPR,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan keluarga mangsa, Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, mendesak pihak berkuasa supaya mempertimbangkan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh terhadap tertuduh.
Bapa mangsa, Amirul Nizam Abdul Aziz, 49, dilaporkan berkata, laporan perubatan hospital mengesahkan kematian anaknya berpunca akibat kecederaan disebabkan kemalangan tersebut.
Tertuduh, Low Kean Peng, 35, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu dengan kandungan alkohol 196 miligram dalam 100 mililiter darah di Persiaran Kota di sini pada pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE














