MELAKA – Perbuatan seorang nelayan mengugut untuk mencincang ibu saudaranya kerana berang ditegur terbabit dalam penyalahgunaan dadah membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohamad Yusri Yahaya, 57, yang mengaku sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menakutkan secara jenayah kepada ibu saudaranya, Alimah Salleh, 73, dengan ugutan mahu mencincang dengan cara membunuhnya.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi di Batu 9 Pantai Kundur, Tanjung Kling di sini pada 4 Mei lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika disabitkan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dikatakan tidak berpuas hati ditegur oleh ibu saudaranya kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Tertuduh kemudian datang ke rumah warga emas itu dengan membawa sebatang besi serta mengugut untuk mencincang dan membunuhnya.-KOSMO! ONLINE














