SERING kali di sebalik senyuman manis dan rentak langkah yakin seorang wanita berkerjaya, tersimpan seribu satu kisah perjuangan yang jarang diperdengarkan.
Realiti kehidupan sebagai seorang ibu, isteri dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat atau usahawan, memerlukan ketabahan yang luar biasa.
Banyak wanita memikul tanggungjawab ini dalam diam, namun setiap perjalanan mereka sebenarnya mempunyai nilai yang sangat besar.
Menyedari kisah-kisah kejayaan wanita-wanita yang memegang pelbagai peranan ini perlu dikongsikan untuk menjadi inspirasi, satu sesi perkongsian eksklusif bersempena sambutan Hari Ibu bertemakan Motherhood, Leadership and Legacy telah dianjurkan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Program tersebut berjaya menarik penyertaan kira-kira 40 peserta dengan kehadiran tokoh-tokoh wanita.
Penganjurnya ialah seorang aktivis wanita, Siti Shaqila Zamzam yang aktif dalam memperkasa golongan itu dan menggerakkan inisiatif komuniti ketika ini.
Sifat kepimpinan dan keprihatinan beliau jelas terserlah menerusi penglibatan aktifnya dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan termasuk Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA), Kelab Inner Wheel Kota Kinabalu, serta Kelab Rotary Kota Kinabalu Pearl.
Sebagai penggerak utama, Siti Shaqila tidak mahu melihat cabaran wanita dipandang sepi dan idea penganjuran program ini tercetus daripada pemerhatiannya sendiri terhadap wanita-wanita berjaya di sekeliling masyarakat.
Siti Shaqila sentiasa tertarik untuk mendalami bagaimana golongan ini mengatasi segala duka, kesukaran dan pasang surut kehidupan tetapi masih mampu menonjolkan kekuatan serta aura positif sebagai seorang pemimpin.
Siti Shaqila mahu memahami kisah di sebalik ketabahan mereka dan berkongsi cerita tersebut agar lebih banyak wanita dapat diperkasakan.
“Tujuan utama sesi ini adalah untuk mencipta ruang di mana wanita boleh bermuhasabah, membina rangkaian dan mendapat inspirasi, bukan sahaja sebagai ibu, tetapi juga sebagai pemimpin, profesional, anak perempuan, rakan dan ahli masyarakat.
“Ramai wanita memikul tanggungjawab secara diam. Melalui sesi sebegini, kita diingatkan bahawa setiap perjalanan wanita mempunyai nilai, dan ada kekuatan dalam berkongsi, mendengar, serta menyokong satu sama lain,” jelasnya kepada K-Wanita.

Katanya, maklum balas yang sangat positif daripada para peserta terdiri pelbagai latar belakang termasuk usahawan wanita, profesional, pemimpin komuniti, ahli NGO serta wakil media membuktikan betapa pentingnya penganjuran sesi berfokuskan wanita sebegini.
Kesemua peserta yang hadir pulang membawa keyakinan baharu serta perspektif yang segar untuk mengimbangi kehidupan keluarga dan cita-cita peribadi.
Suasana yang santai, namun penuh bermakna membolehkan setiap perbualan berjalan dengan jujur dan menyentuh hati.
Tambah Siti Shaqila, dia sangat gembira melihat program ini berjaya menyediakan satu platform yang hangat, selamat dan bermakna untuk para wanita berkumpul.
Melalui perkongsian yang dibawakan, mereka bukan sahaja dapat meluahkan emosi tetapi juga dapat membina rangkaian sokongan yang kukuh sesama mereka.
Program yang mendapat sokongan padu Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Qhazanah Sabah Berhad itu menampilkan tiga tokoh hebat iaitu Datuk Adeline Leong, Datin Rachel Kumar, dan Anne Antah.
Rakan sokongan lain yang turut menjayakan program tersebut termasuk Permai Polyclinic, Chanteek Borneo, Hotel Butik Zara dan Inter Education Sdn. Bhd.
Ketiga-tiga tetamu jemputan ini berkongsi pengalaman peribadi, ketahanan diri, keyakinan serta legasi masing-masing dalam menghadapi cabaran dunia profesional dan keluarga.
Sesi yang diisi dengan pembentangan, perbincangan panel dan interaksi dua hala bersama tetamu yang lain ini ternyata memberi impak yang sangat mendalam kepada seluruh peserta.
Mesej utama program ini adalah bagi membuktikan bahawa wanita sangat berkemampuan untuk berdiri di atas kaki sendiri serta mengejar dua-dua peranan dalam keluarga dan kepimpinan.
Rata-rata menyifatkan penganjuran ini sebagai satu usaha murni yang mendidik dan memberi inspirasi untuk wanita bangkit mendepani cabaran hidup.
Kejayaan penganjuran ini turut mendapat pujian penasihat program, Datuk Eliza Goh.
Eliza menzahirkan rasa penghargaan yang tinggi atas usaha Siti Shaqila yang berjaya mewujudkan platform terbuka bagi merayakan kepelbagaian peranan wanita dalam keluarga, kerjaya dan masyarakat.
Pengorbanan dan ketabahan wanita yang diraikan dalam sesi ini membuktikan bahawa legasi sebenar seorang wanita dibina secara diam melalui kepayahan, namun impaknya kekal berpanjangan.














