fbpx
Di sebalik kejayaan bisnes Anggun Cotton Collection oleh pengasasnya, Noraini hari ini yang turut merupakan antara pembayar zakat terbesar di Negeri Sembilan, tersimpan kisah pilu pengorbanan ibu dan bapa dalam titik mula perniagaannya.

‘Emak gadai emas, bapa jual kebun demi modal bisnes saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik senyuman tenang dan sifat merendah diri wanita ini, tersimpan kisah jatuh bangun seorang usahawan yang melalui pelbagai cabaran.

Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangat pengasas Anggun Cotton Collection (ACC), Noraini Hanipah, 43, untuk terus melangkah sehingga pernah dianugerahkan Tokoh Usahawan Negeri Sembilan 2024/2025 di Anugerah Usahawan Mara.

Malah, kejayaan itu adalah usaha keras bersama tulang belakang ACC iaitu suaminya, Mohd. Shazrin Yahya serta adiknya Norafizah Hanipah dan pasangannya, Mohd. Adzim Zakaria.
Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Syasya Aqilah, 19, dan Alesya Afiqah, 15, memberitahu, titik tolak kepada dirinya untuk menceburi dunia perniagaan fesyen bermula pada 2014 dengan menjual kain pasang sebagai ‘reseller’ sebelum mengambil keputusan mengeluarkan kain rekaan sendiri pada 2017.

Bermula tanpa pengalaman dan hanya berbekalkan keyakinan serta minat terhadap fesyen wanita, Noraini kini berjaya membawa ACC menjadi antara jenama baju kurung tempatan yang cukup dikenali dengan rekaannya yang klasik dan selesa.

Lebih membanggakan, wanita kelahiran Mersing, Johor itu berjaya membina empayar perniagaan sendiri walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan datang daripada keluarga peneroka dari Felda Nitar 1, Mersing.

Menurut Noraini, perjalanan awal membina perniagaan bukan sesuatu yang mudah apabila dia berdepan kekangan modal untuk memulakan langkah.

“Mak dan ayah banyak berkorban, saya terpaksa pinjam wang daripada mereka, mak sanggup gadaikan emas, ayah pula menjual kebun kelapa sawit seluas empat ekar (1.618 hektar) bagi membantu menyediakan modal perniagaan.

“Pengorbanan mak dan ayah memang saya tidak boleh lupakan sampai bila-bila. Masa itu mereka percaya saya boleh berjaya walaupun saya sendiri takut dan masih belajar dalam dunia perniagaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma ACC, Seremban 2 baru-baru ini.

Noraini bagaimanapun tidak mensia-siakan pengorbanan kedua-dua ibu bapanya apabila berjaya membayar semula wang tersebut dalam tempoh hanya enam bulan berniaga.

Mengimbau detik awal perniagaan, Noraini berkata, ketika itu jualan secara online masih belum dikenali dan ramai pengguna belum yakin membeli pakaian menerusi internet atau platform seperti TikTok.

“Enam bulan pertama memang sangat mencabar, kami tak merasa gaji langsung. Masa itu memang kena kuat dari segi mental dan emosi,” katanya.

Noraini mengakui perjalanan membina jenama ACC penuh dengan ujian termasuk kerugian mencecah lebih RM1 juta, selain pernah berdepan fitnah dan hasad dengki.

“Apa yang saya belajar, orang berniaga kena kental, tak boleh cepat koyak apabila orang bercakap buruk tentang kita atau apabila kita diuji dengan pelbagai onak duri yang menjadi asam garam sebagai usahawan,” ujarnya.

Selain kejayaan dalam dunia perniagaan, Noraini turut dikenali sebagai usahawan yang aktif dalam kerja kebajikan dan berkongsi rezeki dengan masyarakat. Malah, ACC kini menjadi antara pembayar zakat perniagaan terbesar di Negeri Sembilan hasil komitmen syarikat dalam menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat.

Pada bulan Mac lalu, ACC telah membayar zakat perniagaan sebanyak RM1.8 juta yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan diterima oleh Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Tan Sri Mohd. Shahrom Nordin.

Menurut Noraini, sejak awal lagi dia percaya perniagaan bukan hanya tentang keuntungan semata-mata, sebaliknya platform membantu lebih ramai insan yang memerlukan.

“Kalau Allah bagi rezeki lebih, saya memang nak bantu orang. Saya percaya bila kita permudahkan urusan orang lain, Allah akan permudahkan urusan kita,” ujarnya.

Selain aktif menjalankan pelbagai program kebajikan, ACC juga kini membantu enam buah pusat tahfiz, antaranya Ribath Talim Al-Luqmaniey, Maahad Tahfiz Al-Quran Baitul Musthofa, Pusat Tahfiz Raudhatul Quran

Ibrahimiyyah dan Maahad Baitul Quran Wal Hadith dengan menyediakan van pengangkutan bagi memudahkan urusan pelajar.

Noraini turut memasang impian jangka panjang untuk membina sebuah masjid dengan anggaran kos sekitar RM6 juta di Negeri Sembilan sebagai usaha berterusan memberi manfaat kepada masyarakat.

Bagi wanita ini, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui angka jualan atau populariti jenama tetapi bagaimana sesebuah perniagaan mampu meninggalkan manfaat jangka panjang buat orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN