PETALING JAYA – Anak kandung kepada wanita yang dilaporkan hilang, Jaslinda Saludin, 49, meluahkan rasa sebak dan penghargaan kepada orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan ibunya serta membantu usaha pencarian yang masih diteruskan sehingga kini.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, @deefzl._, wanita itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari ibunya dan berharap segala doa yang dipanjatkan dimakbulkan Allah.
“Ya Allah, terima kasih atas kehadiran setiap insan yang tidak putus-putus mendoakan ibu saya, Jaslinda serta kepada semua anggota dan pihak yang terlibat dalam usaha pencarian.
“Saya dan keluarga juga mendoakan agar setiap kebaikan, keikhlasan dan doa yang diberikan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah SWT. Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa semua. Terima kasih semua. Ibu, we miss you,” katanya dalam hantaran dimuat naik hari ini.
Dalam hantaran berasingan, dia turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada sesiapa sahaja sekiranya ibunya pernah melakukan sebarang kesilapan sama ada secara sedar atau tidak.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf sekiranya ibu saya, Jaslinda Saludin, ada melakukan sebarang salah silap kepada sesiapa sahaja sama ada sedar atau tidak.
“Sebagai waris, saya dengan rendah hati memohon maaf bagi pihak beliau. Kepada semua yang telah memberi doa, nasihat, petua dan sokongan, kami amat menghargainya,” katanya.
Malah, menerusi satu lagi perkongsian menyentuh hati, wanita itu mempertahankan ibunya daripada pelbagai spekulasi yang tersebar di media sosial sambil menyifatkan Jaslinda sebagai seorang yang ikhlas dan disenangi ramai.
“Sesapa yang pernah kenal ibu mesti akan tahu ibu jenis macam mana. Kalau nak tolong orang, dia sanggup susahkan diri sendiri.
“Walau bagaimanapun, setiap manusia tak lari daripada kesilapan. Andai kata Puan Jaslinda Saludin ada pernah melukakan hati kalian, kami mohon maaf,” katanya.
Terdahulu, kehilangan Jaslinda menjadi perhatian ramai selepas wanita berusia 49 tahun itu dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian bersama sekumpulan pendaki di kawasan Gunung Batu Putih di Tapah.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, malim gunung serta penduduk setempat telah digerakkan sebaik laporan kehilangan diterima.
Bagaimanapun, sehingga kini Jaslinda masih belum ditemukan dan usaha pencarian terus dijalankan dengan harapan wanita itu dapat ditemui dalam keadaan selamat. – KOSMO! ONLINE














