fbpx
Noor Hisam (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Selama di IPD Selama hari ini.

Suspek samun bersenjata masih dalam negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LARUT – Polis percaya suspek kes samun bersenjata yang berlaku di Klebang Ria, Ipoh dan tular di media sosial masih berada dalam negara meskipun sehingga kini individu terbabit belum berjaya diberkas.

Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian jenayah di negeri jiran.

Menurut beliau, siasatan masih diteruskan termasuk meneliti rakaman video kejadian yang tular serta maklumat risikan yang diperoleh bagi membantu usaha mengesan suspek.

“Suspek masih lagi bebas dan belum berjaya ditangkap. Setakat ini, kita mengesyaki dia mempunyai kaitan dengan beberapa kejadian di negeri jiran.

“Kita juga sedang berkolaborasi dengan pihak polis dengan negeri -negeri jiran bagi meneliti kemungkinan wujud kaitan dengan kes-kes lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Selama di sini hari ini.

Noor Hisam bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai pergerakan suspek kerana bimbang ia boleh menjejaskan operasi memburu individu berkenaan.

“Ada maklumat mengatakan suspek berada di sekian tempat, kemudian bergerak ke tempat yang berikut sebelum kembali semula ke Perak, namun perkara itu masih dalam siasatan.

“Kita tidak mahu mendedahkan terlalu banyak maklumat kerana dikhuatiri boleh menjejaskan usaha mengesan dan menangkap suspek,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa polis memandang serius kes tersebut kerana melibatkan ancaman terhadap keselamatan awam.

“Orang ramai tidak perlu bimbang. Kita mengambil serius kes ini dan sedang bekerja keras untuk mengesan serta menangkap suspek secepat mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN