JAKARTA – Mata wang Indonesia, rupiah mencecah paras terlemahnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, melepasi takat psikologi 18,000 rupiah di tengah-tengah kebimbangan mengenai ekonomi negara itu berikutan lonjakan kos tenaga.
Rupiah mencecah 18,028 berbanding AS$1 meskipun terdapat usaha bank pusat baru-baru ini untuk memberikan sokongan.
Rupiah merosot lebih tujuh peratus tahun ini dan merupakan mata wang dengan prestasi terburuk di Asia, demikian menurut Bloomberg News, berikutan perang AS-Israel ke atas Iran yang menyebabkan harga minyak global melonjak.
Ketua ekonomi Permata Bank, Josua Pardede berkata, kadar pertukaran 18,000 adalah ‘takat psikologi’ bagi pelabur pasaran.
Kejatuhan nilai rupiah, katanya kepada AFP, didorong oleh permintaan dolar yang tinggi disebabkan oleh lonjakan harga minyak dan penyusutan lebihan dagangan.
Lebihan dagangan Indonesia terjejas teruk, menyusut kepada hanya AS$89 juta (RM357.4 juta) pada April lalu berbanding AS$3.3 bilion (RM13.3 bilion) sebulan sebelumnya, sekali gus mengurangkan lagi bekalan dolar dalam pasaran Indonesia, kata Josua. – AFP














