PETALING JAYA – Kebajikan rakyat, tadbir urus berkesan dan pembangunan bandar yang seimbang terus menjadi keutamaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam memastikan Kuala Lumpur berkembang sebagai sebuah ibu kota yang mampan dan berdaya huni.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda berkenan menzahirkan pandangan serta nasihat yang konstruktif berhubung hala tuju pembangunan Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim menekankan kepentingan tadbir urus yang berkesan, penyampaian perkhidmatan yang cekap serta usaha berterusan bagi meningkatkan taraf hidup warga kota.
“Sultan Ibrahim sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan rakyat serta pembangunan yang seimbang agar setiap perancangan dan pelaksanaan dasar memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di Istana Negara, pagi ini.
Dalam pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Reformasi Kuala Lumpur yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keselamatan dan perancangan bandar.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud. – KOSMO! ONLINE














