KUALA LUMPUR – Berat hati namun harus reda, ibu yang juga pengurus penyanyi remaja, Amad Dayyan iaitu Saerah Taruddin akur menerima hakikat bahawa anaknya itu sudah pindah ke Kuantan untuk tinggal bersama bapanya sejak dua minggu lalu.
Menurut Saerah atau nama lengkapnya Siti Nursairah Tarudin, 46, keputusan tersebut dibuat oleh Amad sendiri dan dia akur dengan pilihan anaknya biarpun hatinya berat untuk berpisah.
“Bila anak yang semakin meningkat remaja, sampai satu masa mereka akan buat keputusan sendiri. Saya tidak pernah menghalang keputusan dia.
“Ibu mana yang tidak sedih bila terpaksa berpisah dengan anak. Saya sedih sampai tak boleh tidur. Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Amad.
“Saya mengharapkan perubahan yang baik untuk diri dia atas pilihan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaru Umairah, Hujung Indah, di sini, hari ini.
Ditanya bagaimana dengan kerjaya Amad sebagai seorang penyanyi selepas ini, kata Saerah Amad masih terikat dengan kontrak selama dua tahun.
“Selagi kontrak dia belum habis, saya akan menguruskan kerjaya dia di Kuala Lumpur. Manakala di Kuantan pula, bapanya yang akan uruskan.
“Saya juga dah jelaskan kepada Amad tentang kontrak tersebut. Selagi kontrak masih berjalan, kita akan lunaskan segala tugasan mengikut kontrak.
“Bila selesai sahaja kontrak itu nanti, saya rasa saya dah tak bertanggungjawab menguruskan Amad,” jelasnya.
Terdahulu nama Amad atau nama lengkapnya Ahmad Dayyan Saiful Anuar, 14, mula mencuri tumpuan peminat seni suara selepas menjadi salah seorang peserta rancangan Talk To My Manager musim pertama tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














