DUNGUN – Kegembiraan sekumpulan remaja lelaki mandi-manda di Air Terjun Chemerong, Hulu Dungun, di sini hari ini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas.
Kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu mengorbankan Wan Shafuan Irfan Wan Harun, 19, yang merupakan pelajar Institut Kuala Terengganu (KT) Skill, Chendering, Kuala Terengganu.
Mangsa yang sedang bercuti semester gagal diselamatkan rakan-rakannya yang turut beriadah bersama.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Al Muktaffi Billah Shah, Osman Abdullah berkata, seramai enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 1.49 tengah hari.
“Sebaik tiba, kami mendapati mayat mangsa telah ditemui oleh orang awam sebelum dinaikkan ke tebing kawasan air terjun,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














