LONDON – Legenda Arsenal, Emmanuel Petit menggesa pengurus pasukan itu, Mikel Arteta supaya melepaskan tiga pemain pada jendela perpindahan musim panas selepas kekalahan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara lalu.
Selepas merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris, Arsenal gagal menjadikan musim ini lebih bermakna apabila tewas kepada Paris Saint-Germain menerusi penentuan penalti 4-3 pada hari Sabtu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
Arsenal dikritik kerana memiliki kurang daripada 25 peratus penguasaan bola sepanjang 120 minit permainan, selain mereka juga menerima kecaman sepanjang musim ini kerana dianggap bermain dengan gaya yang “membosankan” dan terlalu bergantung kepada situasi bola mati.
Petit menegaskan bahawa Arsenal kekurangan pemain sayap yang kuat dan bertenaga serta mempunyai kemahiran teknikal tinggi untuk memberi kelebihan kepada pasukan musim depan.
“Saya rasa mudah untuk melihat apa yang kurang dalam skuad Arsenal, bagi saya, ia adalah pemain sayap. Anda memerlukan pemain sayap yang kuat dan bertenaga dengan kemahiran teknikal yang mampu membuat perbezaan di bahagian sayap,” jelasnya.
Petit juga mahu Arsenal menjual Gabriel Martinelli, Gabriel Jesus dan pemain yang dibeli pada musim panas lalu, Noni Madueke apabila jendela perpindahan dibuka bulan ini.
“Bagi saya, pemain seperti Martinelli dan Jesus. (Leandro) Trossard pula, saya akan kekalkan dia. Madueke bagi saya tidak cukup bagus,” ujarnya. – AGENSI














