LIVERPOOL – Liverpool dilapor sedang menyiapkan ‘hadiah istimewa’ buat pengendali baharu mereka Andoni Iraola yang dikatakan bakal dilantik dalam tempoh terdekat untuk mengemudi pasukan itu.
The Reds mahu membawa masuk Iraola sebagai pengganti Arne Slot yang dipecat sebelum ini ketika pengurus dari Sepanyol itu kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan Bournemouth apabila kontraknya tamat.
Pakar perpindahan pemain, Fabrizio Romano sebelum ini telah memberikan bayangan mengenai perpindahan tersebut dengan perjanjian dijangka dimuktamadkan minggu ini bagi membolehkan jurulatih berusia 43 tahun itu mengambil alih tugas di Anfield.
Iraola dan Pengarah Sukan Liverpool, Richard Hughes dilapor sudah mengadakan perbincangan dan bersetuju untuk menandatangani kontrak selama dua tahun.
Sekiranya pelantikan itu disahkan, usaha untuk memperkukuhkan skuad akan bermula bagi memberikan Iraola pasukan yang diperlukan terutama penambahbaikan pada bahagian serangan selepas pemergian Mohamed Salah.
Liverpool dilapor bersedia mendapatkan bekas pemain Iraola di Bournemouth, Eli Junior Kroupi yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang selepas meledak 13 gol dalam 33 aksi ketika pemain Perancis itu baru berusia 19 tahun.
Prestasi tersebut telah menarik perhatian kelab-kelab seperti Arsenal, Manchester City dan Paris Saint-Germain menjelang jendela perpindahan musim panas ketika dia dinilai sekitar £80 juta (RM427.44 juta) hingga £100 juta (RM534.31 juta). – AGENSI














