fbpx
FAM seharusnya terus diperkasakan menerusi perubahan statut yang mampu disahkan dalam EGM yang akan berlangsung hari ini.

EGM FAM: Berubah atau kekal cara lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUGASAN besar menanti ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal menjadi peneraju kepada revolusi baharu dalam pucuk pimpinan bola sepak negara selepas ini.

Kongres Luar Biasa (EGM) hari ini bakal menentukan perubahan lebih drastik apabila ahli gabungan yang majoritinya terdiri daripada persatuan bola sepak negeri (FA) bakal mengesahkan pindaan statut FAM mengikut cadangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Perbahasan draf statut baharu yang dicadangkan oleh AFC menjadi agenda utama dan apa juga keputusan yang dimuktamadkan hari ini akan menentukan cara pentadbiran FAM, sama ada akan berubah atau kekal dengan acuan lama.

Walaupun kongres ini bukan kongres pemilihan, keputusan yang dibuat bakal membentuk cara baharu bagi pemilihan pucuk kepimpinan FAM pada pemilihan yang dijangka berlangsung September ini.

Andai draf perubahan statut yang dicadangkan AFC diluluskan, ia menjadi detik peralihan kepada cara pentadbiran baharu FAM terutamanya dalam usaha badan induk itu memulihkan imej selepas dipalit masalah tadbir urus khususnya membabitkan isu pemalsuan dokumen pemain warisan.

Jadi, perkara paling menarik untuk disaksikan pada EGM kali ini menjurus kepada kesediaan FA untuk berkongsi kuasa memandangkan AFC mencadangkan kelab turut terbabit sebagai ahli gabungan FAM.

Secara asasnya, AFC membayangkan perubahan statut akan membolehkan struktur pentadbiran FAM akan jadi lebih seimbang, hubungan antara FAM dan kelab profesional lebih rapat dan paling utama mematuhi standard AFC serta FIFA.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan sesebuah kelab khususnya yang bermain di pertandingan utama di negara ini mempunyai hak untuk menzahirkan kemahuan mereka dan wajib ada jalan untuk menyuarakan pandangan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan nasib FAM mungkin berdepan risiko ‘digantung tidak bertali’ dan tidak akan mempunyai nakhoda sekiranya draf cadangan pindaan statut tidak mendapat persetujuan kongres.

“Boleh (tolak draf perubahan statut), saya katakan kuasa ada di tangan kongres. Kita andaikan mereka menolak kerana mereka tidak mahu kelab (jadi ahli gabungan) dan (FA) tidak mahu hilang kuasa, jadi selepas itu kita akan lihat balik apa langkah seterusnya.

“Mungkin (wujudkan) Jawatankuasa Normalisasi dan bermakna kita akan siasat kenapa ia tidak diluluskan. Jika kamu tidak mematuhi piawaian antarabangsa yang menuntut kelab jadi ahli, kamu sebenarnya ada masalah.

“Sebagai contoh, kita tidak mahu kelab (jadi ahli gabungan) kita kena beritahu sebabnya, bukannya sekadar hanya mengatakan tidak mahu. Siapa yang bermain bola sepak di peringkat tertinggi di negara ini harus jadi sebahagian daripada keahlian.

“Bagaimana kelab bola sepak tidak ada suara dalam perwakilan, tidak bolehlah macam itu dan ia melanggar demokrasi. Standard menuntut siapa yang bermain bola sepak harus berada dalam struktur tadbir urus,” katanya.

Pindaan statut yang dicadangkan AFC bakal menyaksikan perubahan dalam barisan pucuk pimpinan FAM, di mana jawatan Timbalan Presiden dimansuhkan dan Jawatankuasa Eksekutif hanya membabitkan 11 kerusi berbanding 17 kerusi sebelum ini.

Pindaan berkenaan juga bakal menyaksikan pembabitkan kelab dalam FAM dengan semua kelab Liga Super dan beberapa kelab daripada pertandingan lain akan menjadi ahli gabungan badan induk itu serta ada kuasa mengundi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN