SARAT nostalgia, konsert For You Nourul yang berlabuh di Zepp KL pada 30 Mei lalu menjadi kanvas penceritaan buat penyanyi, Nourul Depp dalam tempoh tiga dekad berjuang dalam arena seni suara.
Disaksikan lebih 1,000 penonton termasuk individu yang ‘menariknya’ sebagai penyanyi rakaman, Datuk Aziz Bakar juga bekas orang kuat BMG Music Malaysia, persembahan mega solo tersebut meninggalkan impak mendalam buat khalayak.
Jentik emosi
Satu demi satu bingkisan yang dibahagikan kepada beberapa segmen seolah-olah mengajak khalayak melalui terowong masa mengimbau memori lampau, sekali gus turut menjentik emosi.
Memberikan 100 peratus kesungguhan, pastinya kekuatan utama konsert tersebut adalah konsistensi vokal Nourul dan tenaganya menyampaikan deretan seleksi malar segar yang sudah berusia puluhan tahun.
Kerana Terluka dan Cinta Azali dipilih sebagai pemanas sebelum ibu kepada empat anak itu menzahirkan penghargaan kepada peminat yang hadir walaupun tarikh aksi solo meganya kebetulan bertembung dengan cuti panjang.
“Terima kasih, selamat datang biarpun Malaysia sekarang dalam cuti panjang. Anda semua terpilih untuk berada di sini. Malam yang sangat bermakna bagi saya yang simpan hajat ini dari 32 tahun lalu.

“Inilah masanya dan masa anda juga akan tiba,” ujarnya sebelum momentum persembahan dirancakkan segmen khas untuk idolanya termasuk Datuk Aishah, Ramlah Ram, Ziana Zain dan Ella.
Berkongsi ‘topi’ dipakai bukan hanya sebagai penyanyi, bahkan selaku penganjur, nama-nama penyanyi itu penting sebagai penyuntik inspirasinya untuk bergelar penghibur.
Repertoire pilihan adalah Janji Manismu, Kau Kunci Cintaku, Madah Berhelah dan Sembilu membuatkan seluruh isi perut dewan ‘sing along’.
Tepukan gemuruh memang wajar dihadiahkan kepada penyanyi berkulit hitam manis itu saat menjadi saksi kekuatan vokalnya yang mampu bikin bulu roma meremang.
Graf persembahan mega yang turut meraih sokongan pelbagai penaja juga semakin meningkat dengan kemunculan penyanyi Mimi Fly bersama lagu Temberang.
Tampak berbeza genre, namun gandingan Nourul bersama rapper wanita yang versatil itu terus mengikat fokus penonton menyanyikan bersama-sama lagu Persamaan dan Keliru.
Sebelum itu, anak lelakinya, Zachary Depp pula memikat hati ramai bersama Joget Kenangan Manis dendangan asal Sudirman Haji Arshad sambil menari dengan gaya comel.
Menghampiri garis penamat, Nourul yang turut menyerlah sebagai penulis lirik sempat berduet dengan rakan seperjuangan, Ning Baizura menyampaikan lagu Selagi Ada Cinta juga seni kata nukilannya.
Terdahulu, Nourul melayangkan ucapan manis buat peminat serta teman serta ahli keluarga yang sanggup terbang dari Perancis, United Kingdom, Belgium, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Tanpa membuang masa, acara diteruskan medley solo Ikhlasnya Cintaku, Tangis Syukur serta Tertutup Pintu Hati serta dua lagi dendangan iaitu Rinduku Padamu dan Aku Cinta Aku Rindu.

Balada ikonik
Mengakui kedua-dua karya berkenaan meninggalkan banyak kenangan, Nourul tidak ketinggalan menyebut nama Faizal Maas atau Ajai juga bekas suaminya sebagai komposer lagu berkenaan.
Berusia 30 tahun, Aku Cinta Aku Rindu merupakan balada ikonik yang meraih penghargaan tertinggi dalam Anugerah Industri Muzik keenam apabila dinobatkan sebagai Lagu Sepanjang Tahun.
Sempena konsert, Nourul turut memperdengarkan lagu baharu karya Yasin Sulaiman berjudul Andai Ku Kenalku, sebelum tirai ditutup bersama seleksi hits berjudul Kerana Terluka.
Bagai tidak puas, rata-rata menyifatkan konsep konsert For You Nourul sebuah persembahan yang cukup intim membuatkan peminat berasa sangat dekat dengan penghibur kesayangan itu.
Bagi Nourul pula, kepuasan sebenarnya hadir apabila mampu merealisasikan impian tersimpan selama 32 tahun dan wajah penyokong pulang dengan kegembiraan.
Malah peluang mengajak dua penonton bertuah, Suzy dan Wan berkongsi pentas antara segmen yang meraih pujian kerana dianggap sebagai cara terbaik menghargai peminat setia.
Ditemui selepas konsert, Nourul memaklumkan tidak melihat keuntungan daripada For You Nourul sebagai keutamaan. Biarpun melaburkan wang sendiri demi merealisasikan impian tersebut, dia yang meraih sokongan padu suaminya, Eric Depp percaya pulangan yang diterima nanti akan datang secara berperingkat.
“Saya rasa pulangan itu akan datang secara bertahap. Pulang modal pun sudah cukup bagi saya. Saya tidak kisah kerana ini satu pelaburan untuk diri sendiri. Saya yakin saya sudah bersedia, sebab itu saya melakukannya,” katanya.
Pada masa sama, dia juga menyatakan kunjungan semula ke industri muzik juga sekadar persinggahan seketika, bukan untuk kembali ke dunia seni tanah air.
“Ini adalah Nourul Wahab Depp dalam fasa dan minda yang lain. Saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, cuma saya ingin buat yang terbaik.
“Impian dan perancangan saya tercapai selepas 32 tahun. Ini juga sudah cukup untuk saya menghargai setiap momen,” tutupnya















