TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Masudin, 49, sejak 24 Mei lalu akan diteruskan pasukan penyelamat pada skala kecil.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, perkara tersebut diputuskan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Operasi SAR yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah hari ini.
“Operasi SAR diteruskan dalam skala kecil hanya melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaran dengan prosedur operasi standard (SOP) SAR Orang Hilang.
“Bagaimanapun, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan siasatan lanjut berkaitan kes kehilangan mangsa di kawasan Gunung Batu Putih,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Malik berkata, operasi SAR selama 11 hari itu telah melibatkan seramai 116 sumber manusia daripada pelbagai agensi, jabatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan penduduk setempat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan SAR berkenaan telah melakukan pencarian terhadap mangsa meliputi 95 peratus daripada laluan pendakian Gunung Batu Putih melibatkan pelbagai kaedah. – KOSMO! ONLINE














