PETALING JAYA – Hilang kawalan semasa memotong sebuah traktor dipercayai menjadi punca kemalangan sebuah kenderaan yang merempuh paip besi sehingga meragut nyawa lima sekeluarga di Jalan Engsengei Kampuang Lubok Ria, Serian, Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah kereta dari arah Kampung Lubok Ria menghala ke Serian. Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah traktor dari arah yang sama lalu terbabas melanggar paip besi di kanan jalan dan masuk ke dalam parit besar berair dalam keadaan terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini
Mohamad Zainal berkata, akibat kemalangan tersebut, lima mangsa termasuk pemandu telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pihak paramedik dari Hospital Serian.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan mangsa maut dikenal pasti sebagai Mohammad Bostari Aidit, 30, Ajibah Ahmat, 47, Nur Farah Shahira Narudin, 26, Nur Ain Nasrin Narudin, 16, serta Nur Assyfa Luthfya Narudin, 2. – KOSMO! ONLINE














