PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti aduan berhubung skim pelaburan pulangan sewa terjamin (GRR) yang didakwa tidak sah hingga memperdayakan seramai 69 mangsa.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa yang terlibat telah membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan isu tersebut.
“Kita tahu AGC mempunyai kuasa yang besar untuk mengarahkan siasatan. Kita hadir minta pertimbangan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar supaya dapat meneliti representasi yang dikemukakan dan mengarahkan agensi seperti SSM melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada bahagian pendakwaan.
“Jika terdapat elemen ketidakpatuhan, maka kita minta supaya satu pendakwaan dapat dilakukan kepada suspek terlibat di dalam kes ini dan memberikan keadilan kepada mangsa mengalami kerugian,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.
Menurut Hishamuddin, pihaknya menerima aduan daripada mangsa pada pertengahan tahun lalu berhubung satu skim GRR yang dijalankan oleh sebuah syarikat pemaju tempatan.
Jelasnya, mangsa hadir membuat laporan kepada MHO merupakan pemilik unit rumah di dalam projek skim berkenaan yang melibatkan sebanyak 69 unit dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM43,740,208.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, MHO juga dikejutkan dengan pelbagai iklan dan tawaran daripada pelbagai syarikat yang menganjurkan skim pelaburan GRR ketika ini. – KOSMO! ONLINE














