KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan pelaksanaan kurikulum baharu, pengambilan guru serta projek penambahbaikan kemudahan sekolah akan diteruskan seperti yang dirancang meskipun kerajaan menekankan langkah penjimatan perbelanjaan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, segala keutamaan kementerian termasuk kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu tahun hadapan tidak akan terjejas.
“Semuanya akan dilaksanakan sebagaimana dirancang dan penjimatan itu akan kita lihat dari semasa ke semasa supaya ia tidak mengganggu keutamaan kementerian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata pengagihan Baucar Buku kepada murid akan dilakukan selepas sesi persekolahan disambung semula selepas cuti sekolah. – KOSMO! ONLINE














