fbpx
Keadaan sebuah kereta yang terlibat kemalangan selepas merempuh batang paip air di Jalan Baki Lama-Ensengei, Serian, hari ini. Foto IHSAN JBPM

Bayi tercampak keluar, lima sekeluarga maut rempuh paip air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lima sekeluarga termasuk seorang bayi maut apabila kenderaan yang mereka naiki terlibat kemalangan di Jalan Baki Lama-Ensengei, Serian, Sarawak, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa terlibat dikenal pasti sebagai Mohammad Bostari Aidit, 30, Ajibah Ahmat, 47, Nur Farah Shahira Narudin, 26, Nur Ain Nasrin Narudin, 16, serta Nur Assyfa Luthfya Narudin, 2.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 8.41 pagi.

Menurutnya, seramai lima anggota serta sebuah jentera dan Unit Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian digerakkan ke lokasi kejadian dengan jarak kira-kira 25 kilometer.

“Kemalangan kendiri itu dipercayai berlaku apabila kenderaan terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batang paip air.

“Lima mangsa terlibat terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki dewasa serta seorang bayi perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setibanya di lokasi, pasukan bomba telah mengeluarkan empat mangsa dewasa dari kenderaan.

“Bayi perempuan ditemui orang awam berhampiran lokasi kejadian yang dipercayai tercampak keluar dari kenderaan semasa kemalangan,” ujarnya.

Jelasnya, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN