KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas melangkah ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, Jun Hao menyingkirkan perseorangan lelaki No.1 Jepun, Kodai Naraoka menerusi kemenangan straight-set 21-17, 21-17.
Walaupun berdepan kecaman hebat sebelum ini gara-gara aksi tidak menentu, namun bekas juara remaja Asia itu tidak berputus asa biarpun beberapa kali ketinggalan.
Ketika Naraoka dilihat hampir memenangi set kedua selepas mendahului 16-13, Jun Hao mula memperkemaskan permainan dan berjaya bangkit menyamakan kedudukan 17-17.
Pemain berusia 27 tahun itu kemudiannya mengekalkan fokus dan berjaya mengutip empat mata berturut-turut, sekali gus memastikan kemenangan muktamad dalam tempoh 50 minit.
Menerusi kemenangan itu, Jun Hao akan menantikan sama ada pemain Denmark, Anders Antonsen ataupun Alex Lanier dari Perancis di pusingan kedua nanti. – KOSMO! ONLINE














