DENGAN tahap kelincahan, stamina dan pengalaman yang jauh lebih sedikit berbanding pasukan lain, sekumpulan remaja Malaysia tiba di Mexico tanpa banyak harapan diletakkan kepada mereka.
Namun siapa sangka, mereka akhirnya pulang dengan satu pengiktirafan yang membuatkan nama Malaysia berdiri sebaris dengan negara-negara besar dunia dalam arena bola sepak sosial antarabangsa.
Dalam kejohanan Street Child World Cup (SCWC) yang menghimpunkan hampir 28 negara dari seluruh dunia, sembilan remaja daripada Yayasan Chow Kit, Kuala Lumpur muncul sebagai pasukan dengan kutipan ‘green card’ tertinggi.
‘Green card’ atau kad hijau merupakan sistem khas dalam kejohanan itu yang diberikan kepada pasukan yang mempamerkan nilai hormat, empati, semangat kesukanan dan persahabatan sepanjang berada di dalam dan luar padang.
Ia menjadi simbol penilaian yang memberi fokus bukan sahaja kepada prestasi permainan, tetapi juga kepada aspek karakter dan nilai kemanusiaan peserta.
Lebih membanggakan, edisi 2026 di Mexico ini merupakan penyertaan pertama Malaysia dalam sejarah penganjuran SCWC yang telah berlangsung beberapa edisi di pelbagai negara tuan rumah sejak tahun 2010.
Bagi ketua Team Malaysia Boys, Faizal Ismail Supandi, 17, kutipan kad hijau tertinggi itu banyak dipengaruhi oleh semangat persahabatan yang terjalin erat antara pemain sepanjang kejohanan berlangsung.
“Dari segi pengalaman dan fizikal, kami sememangnya tidak mampu menandingi pasukan-pasukan negara lain untuk kategori utama.
“Namun kami berjaya menonjolkan Malaysia melalui semangat persahabatan serta nilai hormat di dalam dan luar padang.
“Walaupun berdepan kekangan bahasa ketika bergaul dengan peserta dari negara lain, kami tetap mampu berhubung dan membina hubungan baik melalui bahasa badan, sikap saling membantu serta semangat berpasukan.
“Oleh itu, kami tetap berbangga biarpun tidak membawa pulang sebarang trofi kejohanan.
“Kami pulang dengan kenangan yang sangat bermakna serta pengalaman yang tidak ternilai,” kata Faizal kepada K-Remaja.
Untuk pengetahuan, SCWC dianjurkan oleh Street Child United, sebuah organisasi antarabangsa yang memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak rentan di seluruh dunia.
Kejohanan ini bukan sahaja tertumpu kepada pertandingan bola sepak, malah turut menggabungkan kongres hak kanak-kanak, program seni serta sesi advokasi yang memberi ruang kepada peserta untuk menyuarakan pandangan mengenai isu seperti identiti, pendidikan, keselamatan dan kesaksamaan gender.
SCWC mula diperkenalkan pada tahun 2010 dan diadakan bersempena Afrika Selatan menjadi negara tuan rumah Piala Dunia FIFA.
Selain Afrika Selatan pada 2010 dan Mexico (2026), kejohanan ini pernah dianjurkan di Rio de Janeiro, Brazil; Moscow, Rusia; dan Doha, Qatar, menjadikannya platform global yang semakin diiktiraf dalam pembangunan sosial belia.
Pada edisi kali ini, Brazil dinobatkan sebagai juara, diikuti India sebagai naib juara, manakala Mesir menamatkan saingan di tempat ketiga.

Malaysia berjaya menyertai program ini selepas melalui proses temu duga bersama beberapa organisasi terlibat.
Pasukan ini mula membuat persediaan sejak September tahun lalu apabila wakil Yayasan Chow Kit menghadiri sesi sidang kemuncak di Mexico sebagai pendedahan awal kepada suasana kejohanan.
Persediaan tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk penyesuaian cuaca, pemahaman budaya, keselamatan peserta serta latihan bola sepak dan sesi advokasi.
Dalam masa yang sama, usaha pengumpulan dana turut dijalankan sebelum mereka berlepas ke Mexico.
Pasukan Malaysia turut menjalani latihan secara konsisten sejak Disember dengan tempoh sekitar tiga jam setiap sesi, merangkumi latihan taktikal, kecergasan serta pembinaan kerjasama berpasukan.
Seorang lagi pemain Team Malaysia Boys, Mohammad Wafiy Iqbal Herman mengakui terkejut selepas berjaya menjaringkan gol penting buat Malaysia yang sekali gus melayakkan pasukan ke saingan utama kejohanan tersebut.
“Berdasarkan format SCWC, semua pasukan akan memulakan saingan di peringkat kumpulan sebelum dibahagikan kepada dua laluan utama iaitu Champions League dan Shield Cup.
“Champions League merupakan kategori pasukan terbaik, manakala Shield Cup pula dikhaskan kepada pasukan yang tidak layak ke peringkat utama.
“Jaringan itu membantu Malaysia mencatat kemenangan 1-0 sekali gus melayakkan kami ke saingan utama.
“Lebih membanggakan, saya bermain di posisi pertahanan dan ketika itu kami menentang pasukan Amerika Syarikat yang lebih besar dari segi fizikal serta lebih pantas,” katanya.
Malaysia turut meraih dua lagi gol dalam perlawanan seterusnya menerusi penyerang cilik, Kathiravan Parameswaran, yang menggunakan muzik sebagai motivasi untuk menenangkan diri sebelum beraksi di padang.
Selain bola sepak, Malaysia turut menampilkan persembahan dikir barat sebagai medium kebudayaan kerana kebanyakan pesertanya bersifat pemalu dan kurang selesa melakukan persembahan individu seperti menari atau menyanyi secara solo.
Persembahan tersebut digarap melalui pergerakan badan, nyanyian berkumpulan serta semangat berpasukan tanpa iringan muzik, sekali gus menerima maklum balas positif daripada peserta antarabangsa.
Gabungan ini turut melibatkan peserta pelbagai kaum yang mengenakan pakaian tradisional Melayu, mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Dalam pada itu, seorang peserta, Radesh Raj Mathvan dipilih untuk mewakili Malaysia dalam sesi kongres kerana mempunyai kemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik serta keyakinan dalam menyampaikan pandangan.
Antara isu yang dibincangkan dalam kongres tersebut termasuk identiti kanak-kanak dan remaja, khususnya cabaran berkaitan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan, selain isu kesihatan yang mempunyai kaitan dengan akses dan identiti sosial.
Sesi tersebut turut menekankan kepentingan hak dan suara kanak-kanak agar pandangan mereka didengari serta diambil kira dalam proses membuat keputusan masyarakat.
Sesi pembentangan dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti lukisan, drama, persembahan kreatif dan ucapan, menjadikan kongres tersebut lebih inklusif serta mudah difahami oleh peserta dari pelbagai latar belakang bahasa.
Radesh Raj berkongsi bahawa pengalaman tersebut bukan sahaja membuka pandangan terhadap isu global, malah turut memupuk sifat kepimpinan dalam dirinya untuk masa akan datang.
“Melalui pengalaman menjadi wakil yang membawa nama negara di kongres, saya belajar untuk lebih menepati masa kerana suasana di sana sangat ketat dan berdisiplin.
“Pengalaman itu juga memberikan saya keyakinan untuk menjadi seorang pemimpin pada masa akan datang, selain menjadikan saya lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan,” katanya.














