PETALING JAYA – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu sempat mengadakan kunjungan ke kediaman Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki semalam.
Mohamad berkata, pertemuan bersama Setiusaha Agung UMNO itu dimanfaatkan untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa melibatkan umat Islam di peringkat negara dan antarabangsa.
Menurutnya, Asyraf turut berkongsi beberapa isu serta permintaan yang dibangkitkan oleh golongan nelayan darat di Parlimen Gerik hasil lawatan turun padang beliau ke Kampung Perah dan Bandariang baru-baru ini.
“Banyak perkara kami sembang dan bertukar pandangan, khususnya berkaitan isu-isu semasa yang melibatkan umat Islam di peringkat negara dan antarabangsa.
“Dr. Asyraf juga berkongsi beberapa isu serta permintaan nelayan-nelayan darat di Parlimen Gerik yang beliau temui ketika turun padang di Kampung Perah dan Bandariang,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Dalam pertemuan tersebut, Mohamad turut menerima senaskhah buku bertajuk Politik Islam dan Melayu yang ditulis oleh Asyraf sebagai kenangan.
Beliau berharap hubungan ukhuwah yang terjalin antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuhkan serta segala pandangan dan perkongsian yang dibincangkan dapat memberi manfaat kepada rakyat, agama dan negara.
“Semoga ukhuwah yang terjalin terus diperkukuhkan dan segala pandangan serta perkongsian yang dibincangkan memberi manfaat kepada rakyat, agama dan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














