PETALING JAYA – Polis sedang menyiasat tindakan seorang lelaki yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 24 Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.07 petang dan siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki secara melawan arus sebelum merempuh dua kenderaan lain.
“Kereta Honda City itu melanggar sebuah Perodua Axia dan sebuah Honda CR-V yang datang dari arah Sunway menuju ke Puchong. Akibat kejadian, pemandu Honda City berkenaan mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Farid berkata, sampel darah pemandu terbabit turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tindakan lanjut.
Katanya, kedua-dua pemandu Perodua Axia dan Honda CR-V tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” ujarnya. .
Terdahulu, video kejadian tersebut tular di media sosial selepas memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melawan arus sebelum terlibat dalam kemalangan di lebuh raya berkenaan. – KOSMO! ONLINE














