PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke ibu kota dilaporkan mengalami kesesakan luar biasa sehingga menyebabkan pengguna jalan raya terkandas lebih lima jam, malam ini.
Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menerusi perkongsiannya memaklumkan, kelewatan ketara di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan LPT 1 arah barat melibatkan laluan Lanchang ke Plaza Tol Karak.
Dalam masa sama, LLM turut melaporkan aliran trafik tinggi di beberapa sektor Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) melibatkan kedua-dua arah utara dan selatan termasuk laluan Changkat Jering ke Taiping Utara, Gua Tempurung ke Sungkai, dan Pedas Linggi ke Seremban.
“Jem teruk…Temerloh ke Bentong sahaja makan masa lima jam,” keluh pengguna Nor Zara.
Menerusi hantaran di Facebook, seorang pengguna dikenali sebagai Lyna Ismaliana mempersoalkan keadaan jalan raya menuju ke Kuala Lumpur (KL) malam ini.
“Jem teruk, dari Tol Karak (keluar LPT) sampai Tol Gombak,” ujar Lahiri Tahir.
“Melekat…tadi saya dari Lanchang ke KL memakan masa lima jam lebih,” kata Zahari Muhammad.
Sementara itu, seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd Zarif turut mendedahkan bahawa kenderaan terlampau banyak di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sehingga ada kawasan rehat yang tidak dapat dimasuki.
“LPT 2 banyak kereta, tak boleh masuk RnR Paka,” kongsinya.
“Elok berehat dulu sebab jem dari Tol Karak,” ujar Nan Husin. – KOSMO! ONLINE














