PETALING JAYA – Amalan membacakan buku kepada anak-anak sejak bayi mampu memberi impak luar biasa terhadap perkembangan minda serta kemahiran bertutur apabila mereka membesar.
Kepentingan amalan tersebut dikongsikan di Threads oleh Alsonaz, menjelaskan bahawa golongan bapa perlu menitikberatkan aktiviti membaca bersama anak sejak hari pertama mereka dilahirkan.
Menurutnya, terdapat perbezaan yang sangat ketara antara kanak-kanak yang dibiasakan dengan buku sejak kecil berbanding mereka yang tidak melalui fasa berkenaan.
“Sebab dari situ dia mula kenal bunyi dan perkataan, fokus dia perlahan-lahan terbina dan paling penting…bonding (ikatan) tu jadi kuat,” katanya.
Tambahnya lagi, aktiviti tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko masalah lambat bertutur (speech delay) selain meluaskan perbendaharaan kata (vocab) seorang kanak-kanak.
Ujarnya lagi, ibu bapa tidak perlu berasa hampa sekiranya bayi mereka kelihatan seperti tidak memberikan sebarang tindak balas atau hanya memandang kosong ketika dibacakan buku cerita.
“Tapi jauh dalam diam tu, dia tengah ‘serap’ semua benda. Ya, kesannya bukan sekarang, tapi nanti,” jelasnya.
Perkongsian bermanfaat itu mendapat sokongan penuh daripada rata-rata ibu bapa lain yang turut mengakui keberkesanan kaedah tersebut berdasarkan pengalaman sendiri.
Seorang pengguna, _Sinxer berkongsi bahawa suaminya menjadikan aktiviti membaca sebagai rutin setiap malam sehingga anak perempuan mereka mampu bertutur seawal usia dua tahun dan lebih berkeyakinan.
“Setuju. Anak- anak perempuan saya seawal dua tahun dah banyak perkataan yang dia tahu dan sangat yakin bila bercakap. Memang tak takut untuk luahkan perasaan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














