KUALA TERENGGANU – Demi kasih sayang terhadap ibu dan adik lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) mental, seorang wanita sanggup mengorbankan kerjaya dan kehidupan berkeluarga yang diimpikan selama ini.
Rosnani Musa, 50, berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah syarikat kontraktor pembinaan di bandar raya ini sejak hampir 10 tahun demi menjaga ibu, Robiah Mat Daud, 67, yang uzur dan adik lelakinya, Mohamad Saffari Musa, 42.
“Saya pegang janji dengan arwah ayah (Musa Mohammad) agar mengambil alih tanggungjawab menjaga Saffari jika sesuatu terjadi kepadanya.
“Takdir Allah, ayah maut dalam kemalangan jalan raya pada Jun 2016, manakala kesihatan ibu yang menderita sakit lutut sejak muda pula semakin merosot selepas itu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Batu Burok di sini baru-baru ini.
Anak sulung itu berkata, Saffari yang menjadi OKU selepas diserang demam panas ketika bayi bukan sahaja tidak berupaya menguruskan diri sendiri, malah enggan memakai lampin pakai buang dewasa.
“Saya tidak boleh leka walaupun sesaat jika tidak habis rumah dicemari dengan najisnya. Dia juga kadangkala agresif sehingga pernah mencederakan saya,” katanya.
Rosnani berkata, tanpa sebarang pendapatan sejak 10 tahun lalu, kehidupan mereka tiga beranak banyak bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah keseluruhan RM1,100 sebulan.
Dia yang masih bujang berkata, mereka juga menerima bantuan sara hidup tahunan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM2,000.
“Pada usia separuh abad, impian untuk berumah tangga sudah lama terkubur, biarlah saya tunaikan wasiat arwah ayah menjaga ibu dan adik hingga ke akhir hayat,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Rosnani bernombor 6495418323 (Public Bank) atau menghubunginya di talian 013-9700 170.














