PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli semakin ‘gian’ untuk terus memburu kedudukan podium selepas merealisasikan impiannya merangkul podium di saingan Moto3 apabila meraih tempat ketiga di Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello kelmarin.
Lebih manis, kejayaan tersebut menamatkan penantian sedekad pelumba Malaysia untuk kembali berada di podium Moto3 sejak kali terakhir dilakukan Khairul Idham Pawi menerusi kemenangan sensasi pada GP Jerman 2016.
Pencapaian itu hadir hasil kebangkitan luar biasa Hakim Danish yang sebelum ini berdepan hujung minggu mencabar apabila terjatuh dua kali ketika sesi latihan pada Jumaat sebelum bangkit meraih petak kedua pada sesi kelayakan.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu turut memanfaatkan peluang bermula dari petak hadapan selepas pelumba Sepanyol, David Almansa disahkan tidak cergas untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan.
“Saya harap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kejayaan pada masa depan.Dalam perlumbaan itu, saya telah memberikan segala-galanya bermula dari awal hingga ke garisan penamat.
“Saya bertarung habis-habisan dengan mentaliti enggan menyerah kalah. Saya cuba untuk kekal kuat dan fokus hanya untuk memburu kedudukan podium,” katanya.
Hakim Danish mengakui perlumbaan 17 pusingan itu berlangsung cukup sengit apabila kelompok hadapan sentiasa bertukar kedudukan sehingga memaksanya berjuang sehingga ke saat terakhir untuk memastikan tempat di podium tidak terlepas.
“Perlumbaan sangat sengit. Kelompok hadapan sentiasa bertukar kedudukan dan kami berlumba pada had maksimum dari awal hingga akhir. Saya tahu satu kesilapan kecil sahaja boleh mengubah segala-galanya,” jelasnya.














