PETALING JAYA – Jarang bercerita perihal peribadi, perkongsian terbaharu pelakon Datin Seri Zizie tentang salah tanggapan segelintir pihak yang menuduhnya sebagai sonbong menarik perharian.
Ujar Zizie atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad, 48, akibat masalah penglihatan, dia bukan sengaja tidak menegur peminat atau kenalan di kawasan terbuka, sebaliknya berdepan kesukaran mengenali individu dari jarak jauh.
“Kalau awak nampak saya di luar dan saya tidak menyapa, tolong jangan anggap saya sombong.
“Sejujurnya, penglihatan saya agak teruk dan saya tidak gemar memakai cermin mata,” katanya dalam Instagram Story.
Tambah pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu, pengalaman silam membuatkan dia kini lebih berhati-hati sebelum menegur sesiapa bagi mengelakkan situasi memalukan berulang.
“Saya sudah banyak kali memalukan diri sendiri kerana melambai kepada orang asing disebabkan menyangka mereka kawan saya.
“Jadi sekarang saya lebih berhati-hati dan belajar daripada kesilapan,” jelasnya.
Paling penting kata kakak kepada Shaheizy Sam itu, dia lebih selesa menunggu orang lain memulakan teguran terlebih dahulu terutama apabila berada di tempat awam.
“Kalau kita berada dalam satu ruang sama, saya akan tunggu awak tegur dulu.
“Bukan sebab saya sombong, tetapi kemungkinan besar saya tidak pasti siapa yang sedang melihat saya,” luahnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ramai memahami situasi dihadapi pelakon berkenaan.
“Saya pun sama, rabun teruk memang susah nak cam orang dari jauh.
“Tak mengapa Kak Zizie, yang penting hati baik,” tulis beberapa netizen.
Namun, ada juga segelintir pihak masih beranggapan sikap tidak menegur di tempat awam boleh disalah tafsir meskipun sudah diberikan penjelasan. – KOSMO! ONLINE.














