PETALING JAYA – Kalau ada tawaran nak bagi RM100 jangan terperdaya, ya!”
Itu pesanan seorang wanita yang baru sahaja terperdaya dengan taktik scammer keldai akaun.
Menerusi media sosial, wanita itu meminta bantuan orang ramai berkongsikan maklumat mengenai tindakan yang perlu diambil selepas dia ditipu.
“Saya baru perasan saya dah jadi mangsa keldai akaun. Saya nak kena buat apa, ya? Ada tak sesiapa pernah kena?
“Kau orang tolong jangan terjebak dengan ‘task’ (tugasan) ‘bank-bank’ tu. Dia orang aktif mencari mangsa keldai akaun sampai sekarang,” katanya.
Hantarannya itu meraih perhatian orang ramai, malah ada yang turut berkongsi pengalaman masing-masing.
“Sekat kad ATM dan perbankan dalam talian secepat mungkin,” ujar @_Aimie.
“Abang saya pernah kena, tak fasal-fasal masuk ‘dalam’ dua hari tiga malam. Nak tak nak kena mengaku sebab akaun kita. Sampai sekarang dia tak boleh buat kad bank,” kongsi seorang pengguna.
“Kita kena empat tempat, empat laporan. Kena naik semua tempat bagi kenyataan dan naik mahkamah bayar denda,” komen pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














