fbpx
MARINA

Marina umum tidak bertanding pertahan DUN Skudai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dan berundur daripada arena politik selepas hampir empat tahun memegang amanah sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Marina berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama insan-insan terdekat yang sentiasa berada di sisi beliau sepanjang perjalanan politiknya.

Menurutnya, beliau kini memilih untuk kembali memberi tumpuan kepada kerja-kerja kemasyarakatan dan mendekati masyarakat, sesuatu yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sebelum menyertai dunia politik.

“Empat tahun lalu saya datang ke Skudai dengan harapan untuk berkhidmat. Saya hadir bukan dengan kekuatan yang besar atau pasukan yang lengkap, tetapi dengan niat yang ikhlas dan keyakinan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Sepanjang tempoh tersebut saya telah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Jika terdapat kekurangan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Marina turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan peluang kepadanya sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai ADUN Skudai.

Beliau secara khusus mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang memberikan sokongan pada Pilihan Raya Negeri Johor pada 22 Mac 2022 serta pasukan yang sentiasa bersamanya dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Menurut Marina, walaupun satu babak dalam kehidupannya telah berakhir, ia tidak bermakna khidmat kepada masyarakat turut terhenti.

“Selagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT, saya akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti yang mampu saya lakukan.

“Saya mendoakan agar Skudai terus maju dan masyarakatnya terus sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh peralihan ini, dirinya akan terus komited melaksanakan tugasan di lapangan sehingga wakil rakyat baharu dilantik.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ke-15, Marina yang mewakili parti DAP-Pakatan Harapan (PH) menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan meraih undi sebanyak 26,359.

Beliau menang dengan majoriti 13,943 undi mengetepikan dua lagi calon daripada Barisan Nasional (BN), Lim Soon Hai dan Perikatan Nasional (PN), Khoo Kong Ek.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN