fbpx
TANPA pematuhan SOP, risiko kejadian haiwan korban ‘naik minyak’ sukar dielakkan, sekali gus mengundang bahaya kepada petugas dan orang awam.

Patuhi SOP ibadah korban elak tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TRAGEDI yang berlaku ketika musim ibadah korban baru-baru ini sewajarnya membuka mata semua pihak bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan. Insiden seorang lelaki maut ditanduk kerbau di Ulu Tiram, Johor, dan kecederaan membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Kajang, bukan lagi kes terpencil, sebaliknya cerminan kecuaian yang berulang setiap tahun tanpa pengajaran tuntas.

Ibadah korban bukan sekadar ritual menyembelih haiwan, tetapi satu tuntutan ibadah yang menekankan disiplin, adab serta pematuhan prosedur. Namun, dalam keghairahan melaksanakan ibadah ini, aspek keselamatan sering diketepikan. Lebih membimbangkan, masih ramai pihak tidak cakna terhadap garis panduan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) termasuk keperluan mendapatkan kelulusan lokasi penyembelihan, sama ada di rumah sembelih berlesen atau kawasan sementara yang sah.

Persoalannya, mengapa setiap tahun isu sama terus berulang? Adakah ia berpunca daripada sikap sambil lewa penganjur atau kurangnya kefahaman terhadap SOP yang telah ditetapkan?

Realitinya, tanpa pematuhan, risiko kejadian haiwan korban ‘naik minyak’ sukar dielakkan, sekali gus mengundang bahaya kepada petugas dan orang awam.

Selain pemilihan lokasi yang sesuai, aspek kepakaran petugas juga tidak boleh dipandang remeh. Mereka yang mengendalikan haiwan besar seperti lembu dan kerbau perlu mempunyai kemahiran khusus termasuk teknik menenangkan, mengikat dan merebahkan haiwan dengan cara yang selamat. Dalam masa sama, Islam sendiri menuntut umatnya berlaku ihsan terhadap haiwan.

Pengendalian kasar, jeritan atau kekasaran fizikal bukan sahaja bertentangan dengan adab, malah boleh menyebabkan haiwan menjadi stres dan agresif. Sikap tenang dan berhemah bukan sahaja memudahkan urusan, malah menjamin keselamatan semua pihak.

Penganjur juga perlu lebih peka terhadap kawalan orang ramai di kawasan korban. Zon tontonan perlu dihadkan, laluan kecemasan mesti dikosongkan dan kanak-kanak tidak wajar dibiarkan berada terlalu hampir dengan kawasan penyembelihan.

Lebih penting, kehadiran pasukan kecemasan atau paramedik di lokasi wajar dijadikan amalan standard, terutama bagi acara berskala besar. Pengalaman di beberapa lokasi menunjukkan betapa rawatan awal di tempat kejadian mampu mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius, malah menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih buruk.

Pematuhan SOP bukan beban, sebaliknya satu keperluan demi memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan selamat dan sempurna. Pada masa sama, pihak berkuasa seperti DVS perlu mempergiatkan lagi hebahan dan pendidikan berkaitan garis panduan agar masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman lebih cakna dan bersedia.

Aidiladha dan ibadah korban seharusnya menjadi simbol ketaatan dan pengorbanan, bukan tragedi yang meragut nyawa atau mencederakan insan lain akibat kecuaian yang boleh dielakkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN