WOLVERHAMPTON – Bekas pertahanan Newcastle United, Kieran Trippier semakin hampir menyertai Wolverhampton Wanderers selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk perpindahan secara percuma menjelang musim baharu.
Pemain berusia 35 tahun itu dilaporkan bersetuju menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan setahun lagi bersama Wolves yang kini beraksi dalam saingan Championship.
Kehadiran Trippier dianggap sebagai sebahagian daripada pelan besar Wolves untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tersingkir musim lalu, dengan pengurus baharu, Rob Edwards melihat pemain berpengalaman itu sebagai pemimpin yang mampu mengubah nasib pasukan.
Perpindahan tersebut hanya menunggu proses pemeriksaan perubatan yang dijadual berlangsung sebaik Trippier pulang daripada percutian keluarga minggu depan.
Wolves dikatakan berjaya mengetepikan saingan beberapa kelab Eropah lain untuk mendapatkan khidmat bekas pemain antarabangsa England itu yang meninggalkan Newcastle selepas empat tahun berbakti di St James’ Park.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe sebelum ini menyifatkan keputusan Trippier menyertai kelab itu pada 2022 sebagai satu tindakan berani ketika pasukan tersebut sedang bergelut untuk mengelakkan penyingkiran.
“Keputusan dia datang ke sini perlu dihargai. Dia meninggalkan pasukan yang berjaya di Sepanyol untuk menyertai kelab yang sedang berjuang mengelak penyingkiran dalam Liga Perdana Inggeris.
“Musim berikutnya dia memainkan peranan luar biasa dalam perjalanan kami ke Liga Juara-Juara. Selain itu, aksi pada final Piala Liga juga sangat hebat dan saya masih ingat bagaimana dia membantu pasukan menjulang trofi tersebut,” kata Howe.
Sepanjang bersama The Magpies, Trippier membuat 160 penampilan dan memainkan peranan penting membantu pasukan itu memenangi Piala Liga musim lalu selain membawa mereka kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara. – KOSMO! ONLINE














