BENTONG – Seramai 70 orang penumpang dua buah bas melalui detik mencemaskan apabila bas yang mereka naiki terlibat dalam kejadian kemalangan ketika menuruni Genting Highlands di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah di sini hari ini.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu menyaksikan sebuah bas persiaran telah hilang kawalan dan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Jenis Perodua Aruz sebelum melanggar sebuah lagi bas persiaran.
Akibat kejadian menyebabkan sebuah bas terbalik manakala sebuah lagi bas mengalami remuk teruk pada bahagian depan manakala SUV remuk teruk pada bahagian belakang.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya tujuh orang mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bomba yang tiba di tempat kejadian pada pukul 6.06 petang mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu dua buah bas persiaran dan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz.
“Salah sebuah bas persiaran yang membawa seramai 36 orang penumpang telah terbalik, mengakibatkan tujuh orang mengalami kecederaan dan sebuah lagi bas persiaran yang membawa seramai 34 penumpang dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Manakala, tiga orang mangsa yang berada di dalam kenderaan Perodua Aruz dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya tiada mangsa yang tersepit dan kesemua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan masing-masing. – KOSMO! ONLINE














