fbpx
Apabila badan kekurangan air, keupayaan untuk berpeluh dan menyejukkan badan akan berkurangan sekali gus meningkatkan risiko strok haba.

Letih ‘amaran awal’ strok haba – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kes strok haba ketika mela­kukan aktiviti luar dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 56 kes direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara setakat awal bulan ini. Daripada jumlah itu, seba­nyak dua kes kematian direkodkan ekoran cuaca panas.

Analisis KKM menunjukkan sebanyak 58 peratus kes penyakit berkaitan haba berlaku ketika individu tersebut sedang melakukan aktiviti fizikal.

Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada kes tersebut melibatkan aktiviti sukan dan olahraga seperti merentas desa, latihan sukan atau acara larian maraton.

Keadaan itu menunjukkan aktiviti sedemikian yang dilakukan terutama dalam cuaca panas boleh mening­katkan risiko strok haba sekiranya aspek keselamatan dan nutrisi tidak diberi perhatian.
Bagi mengupas isu ini dengan lebih lanjut, Wartawan Kosmo! Ahad, Harrith Hisham menemu bual pakar kesihatan merangkap Pengarah Urusan Eksekutif Megaklinik Dr. Suffian (MKDS), Dr. Suffian Sani baru-baru ini.

Dr. Suffian

KOSMO! AHAD: Sebagai permulaan, boleh terangkan me­ngenai strok haba dan bagaimana boleh berlaku?
DR. SUFFIAN: Strok haba merupakan keadaan kecemasan perubatan apabila suhu badan meningkat terlalu tinggi sehingga menyebabkan sistem badan gagal menyejukkan diri.

Biasanya badan akan menyejukkan suhu melalui peluh, pernafasan dan pengembangan saluran darah. Namun apabila sistem itu gagal berfungsi, suhu badan boleh meningkat secara mendadak sehingga menjejaskan organ penting seperti otak, jantung dan buah pinggang. Sebab itu strok haba bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada komplikasi serius termasuk kematian.

Adakah aktiviti larian jarak jauh, pendakian, berbasikal dan sukan lasak dilihat le­bih berisiko untuk seseorang itu meng­alami strok haba?

Secara ringkasnya ya, kerana aktiviti seperti ini melibatkan intensiti tinggi, tempoh yang panjang dan biasanya dilakukan dalam keadaan yang lebih mencabar. Apabila otot bekerja lebih kuat, badan menghasilkan lebih banyak haba. Tetapi faktor paling penting sebenarnya adalah persediaan.

Kalau seseorang itu tidak bia­sa dengan cuaca panas, tidak membuat latihan penyesuaian badan, kurang minum air, kurang elektrolit atau tidur tidak cukup, risiko untuk mengalami strok haba menjadi lebih tinggi.

Adakah strok haba hanya boleh berlaku ketika cuaca panas?
Ramai orang fikir strok haba hanya berlaku ketika cuaca terlalu panas, tetapi sebenarnya tidak semestinya.

Cuaca panas memang mening­katkan risiko, tetapi ada faktor lain yang turut memainkan pe­ranan contohnya pakaian terlalu ketat, pengudaraan tidak baik atau persekitaran yang mempu­nyai kelembapan tinggi.
Dalam keadaan itu, peluh sukar menyejat dan badan tidak dapat melepaskan haba dengan baik sekali gus meningkatkan risiko strok haba.

Apakah tanda-tanda atau simptom awal strok haba?
Simptom awal strok haba bia­sanya agak sukar dikenal pasti kerana ia hampir sama seperti rasa penat biasa. Antaranya pening kepala, sakit kepala, rasa lemah, loya, muntah, kekejangan otot, degupan jantung laju dan dahaga melampau.

Apabila keadaan menjadi lebih serius, seseorang itu boleh mula hilang fokus, keliru, bercakap merapu, perubahan tingkah laku secara tiba-tiba atau lebih teruk sehingga pengsan dan sawan. Bila sampai tahap itu, ia memerlukan rawatan segera.

Adakah terdapat golongan tertentu yang lebih berisiko mengalami strok haba?
Bagi saya, terdapat dua kategori iaitu individu sihat dan individu yang mempunyai penyakit. Orang sihat juga boleh berisiko tinggi sekiranya mereka kurang latihan atau terus melakukan aktiviti yang melebihi kemampuan diri.

Pada masa sama, individu yang mempunyai penyakit se­perti obesiti, diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan buah pinggang juga perlu lebih berhati-hati kerana keupayaan badan mereka mungkin tidak berada pada tahap optimum.

Sejauh mana faktor dehidrasi dan kekurangan nutrisi menyumbang kepada risiko strok haba?
Faktor seperti dehidrasi, kekurangan nutrisi dan kurang tidur memainkan peranan yang sangat besar. Apabila badan kekurangan air, keupayaan untuk berpeluh dan menyejukkan badan akan berkurang.

Selain itu, kekurangan tenaga khususnya karbohidrat boleh menyebabkan seseorang cepat penat dan prestasi merosot. Kurang tidur pula mengganggu proses pemulihan badan dan menyebabkan seseorang lebih mudah terdedah kepada tekanan fizikal.

Bagi kes kematian, adakah kebanyakan mangsa menunjukkan tanda amaran lebih awal?
Dalam kebanyakan kes, memang ada tanda amaran awal. Cuma masalahnya simptom tersebut sering dianggap sebagai keletihan biasa dan ramai memilih untuk terus memaksa diri meneruskan aktiviti.

Kalau badan sudah mula memberikan isyarat seperti pening, terlalu penat, degupan jantung terlalu laju atau rasa tidak selesa yang berpanjangan, jangan abaikan. Jangan tunggu sampai keadaan menjadi kritikal baru hendak bertindak.

Apakah tindakan kecemasan yang perlu dilakukan sekiranya seseorang itu meng­alami strok haba?
Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah hentikan aktiviti serta-merta. Jangan suruh individu itu meneruskan aktiviti atau berehat seketika sebelum menyambungnya semula.

Pindahkan mangsa ke kawasan lebih sejuk, longgarkan pakaian dan cuba sejukkan badan secepat mungkin menggunakan air, kipas atau tuala basah. Pada masa sama, dapatkan bantuan perubatan dengan segera terutama jika mangsa sudah keliru, pengsan atau sawan.

Langkah yang perlu diambil penganjur bagi mengurangkan risiko strok haba?
Bagi jangka pendek, penganjur perlu menyediakan pasukan perubatan yang berpengalaman, ambulans mencukupi dan membuat penilaian risiko sebelum acara berlangsung.

Selain itu, stesen air, pelan kecemasan dan sistem komunikasi yang jelas juga penting. Dalam jangka panjang pula, lebih banyak pendidikan dan kesedaran perlu diberikan supaya peserta lebih memahami risiko strok haba.

Nasihat dan saranan kepada masyarakat bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko strok haba?
Saya gembira melihat semakin ramai rakyat Malaysia mula aktif bersukan, tetapi jangan melakukan aktiviti fizikal kerana mengikut orang atau takut ketinggalan.

Mulakan mengikut kemam­puan sendiri, lakukan persediaan secukupnya dan biasakan badan dengan latihan secara berpe­ringkat. Pada masa sama, jangan abaikan pemeriksaan kesihatan kerana pencegahan adalah le­bih baik daripada rawatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN