WASHINGTON – Seorang bekas pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas ejen-ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menemui beratus-ratus jongkong emas bernilai lebih AS$40 juta (RM159 juta) di dalam rumahnya di negeri Virginia, lapor stesen penyiaran BBC.
Tertuduh dikenali sebagai David Rush membuat permintaan kepada kerajaan AS antara November 2025 sehingga Mac lalu untuk mendapatkan jongkong emas tersebut atas alasan ‘perbelanjaan berkaitan kerja’, demikian menurut dokumen mahkamah.
Rush didakwa melakukan jenayah mencuri harta kerajaan dalam aduan yang difailkan minggu lalu.
Suspek yang merupakan bekas eksekutif kanan di Agensi Perisikan Pusat (CIA) itu kini direman sementara menunggu perbicaraan.
Dia juga dituduh memalsukan maklumat pendidikan dan perkhidmatan ketenteraannya semasa memohon untuk menjadi penjawat awam.
FBI menemui wang tunai AS$2 juta (RM7.9 juta) beserta 35 jam tangan mewah, kebanyakannya jenama Rolex.
Pihak berkuasa turut merampas kira-kira 303 jongkong emas yang setiap satu seberat 1 kilogram, kata FBI dalam dokumen mahkamah. – AGENSI














