fbpx
Tangkap layar klip video tular yang mendakwa kononnya pemandu kereta Perodua Myvi terlibat dalam kemalangan berada dalam pengaruh vape mushroom di Jalan Belukar Jambu, Kuala Terengganu pada Selasa lalu.

Dakwaan pemandu Perodua Myvi ‘lalok’ vape mushroom tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU -Seorang pembantu kedai makan yang didakwa ‘lalok’ akibat penggunaan vape mushroom sewaktu terlibat dalam kemalangan kecil di Jalan Belukar Jambu, di sini pada Selasa lalu disahkan bebas daripada pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, ujian urin terhadap lelaki berusia 25 tahun itu bukan sahaja negatif malah pemeriksaan di rumahnya juga tidak menemui sebarang bahan larangan tersebut.

“Saya mengesahkan tiada penglibatan dadah (melibatkan pembantu kedai makan berkenaan) dalam kes tersebut.

“Sehubungan itu, orang ramai dipohon agar tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian sendiri tanpa fakta tepat,” katanya di sini malam ini.

Terdahulu, tular klip video berdurasi 59 saat di media sosial memaparkan kononnya pembantu kedai makan tersebut dalam keadaan mencurigakan sehingga didakwa berada di bawah pengaruh vape mushroom sewaktu terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Azli berkata, insiden sebenarnya, lelaki itu yang memandu kereta Perodua Myvi didapati telah melanggar kenderaan utiliti sukan (SUV), Perodua Ativa dipandu seorang guru lelaki di Jalan Belukar Jambu di sini pada pukul 8.19 malam, Selasa lalu.

Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan.

“Pembantu kedai makan itu telah dikenakan dua notis kompaun kesalahan trafik mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Peraturan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN