KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei tidak dapat menahan air mata apabila terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura gara-gara kecederaan lutut kiri dialami.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura hari ini, dia yang bergandingan dengan Chen Tang Jie tidak dapat meneruskan permainan ketika sedang mendahului beregu India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 18-16 di set pertama.
Ketika kedua-dua beregu terikat 15-15, permainan terhenti seketika dan Ee Wei terpaksa membalut sendiri lututnya kerana peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melarang pemain mendapatkan rawatan ketika perlawanan berlangsung.
Biarpun berdepan kesakitan, namun Ee Wei masih memaksa diri untuk beraksi dan berjaya mendahului 18-16 sebelum mengambil keputusan menarik diri dan dibawa keluar menggunakan kerusi roda dengan air mata berlinangan.

“Dia masih mahu cuba (teruskan permainan) tetapi dia cakap kakinya semakin sakit setiap kali memijak lantai. Semua orang tidak mahukan kecederaan dan saya tahu perasaan dia, sekarang tubuh badan paling penting.
“Saya cakap jangan fikir mengenai keputusan, boleh main ataupun tidak kerana kita perlu ikut kata hari sendiri. Saya hanya mahu dia sihat dan tak perlu fikir tentang saya atau kemenangan,” kata Tang Jie kepada BWF.
Tambah Tang Jie, dia tahu pasangannya itu tidak akan menarik diri dengan mudah sekiranya ia hanya kecederaan biasa memandangkan pemain kelahiran Melaka tersebut merupakan seorang ‘pejuang’ di dalam gelanggang. – KOSMO! ONLINE














