PETALING JAYA – Pengamal media perlu terus memainkan peranan sebagai suara rakyat, pengimbang kuasa dan nurani negara dalam mendepani cabaran era digital yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wartawan dan pengamal media bukan sahaja berperanan menyampaikan berita, malah memikul amanah besar untuk menegakkan kebenaran dengan penuh integriti, kredibiliti dan tanggungjawab.
Menerusi hantaran di laman Facebook sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2026 hari ini, beliau berkata, pengamal media merupakan antara tiang penting dalam memperkukuh demokrasi negara.
“Dalam era lambakan maklumat dan penyebaran berita tanpa sempadan, pelaporan yang bertanggungjawab amat penting bagi memastikan fakta disampaikan secara tepat, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
Menurutnya, sambutan Hawana 2026 merupakan satu penghargaan kepada para wartawan dan pengamal media yang selama ini berkhidmat menyampaikan maklumat kepada rakyat. – KOSMO! ONLINE














