BERCERITA tentang selebriti serba boleh yang seorang ini, pasti ramai akan terkenang telatah lucunya dalam media sosial mahupun kehandalannya memasak di dapur. Ada sahaja video perkongsiannya yang mencuit hati netizen.
Namun di sebalik sifat humornya, tiada siapa tahu apa yang bermain di lubuk hati wanita yang dikenali dengan nama pentas Zulin Aziz itu.
Hujung tahun lalu perkahwinan yang dibina sejak empat tahun, runtuh di pertengahan jalan.
Dia menyimpan kemas kisah perceraiannya sehinggalah hari terakhir tempoh idahnya selesai.
Ramai yang cuba-cuba mengorek punca keputusannya meletakkan titik noktah dalam perkahwinan, namun sehingga kini Zulin masih berpegang teguh dengan pendirian untuk tidak membuka kisah dalam kelambu.
“Memang ramai yang cuba untuk korek. Lumrah apabila ada selebriti bercerai, mesti ramai nak tahu punca.
“Tetapi seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini, biarlah saya dan bekas suami sahaja yang tahu. Apa yang boleh saya katakan antara kami memang tiada persefahaman lagi.
“Dalam sebuah perkahwinan, persefahaman adalah sangat penting agar rumah tangga kekal harmoni.
“Mungkin jodoh saya cuma setakat ini sahaja. Biarpun ada cakap-cakap sinis yang berkata, dahulu saya liat nak bertemu jodoh. Dah dapat, bercerai pula. Tetapi inilah aturan Tuhan. Tiada siapa yang dapat menduga apa yang bakal berlaku dalam hidup kita,” katanya.
Ditanya adakah jendela hatinya masih terbuka luas untuk menerima kehadiran insan bergelar lelaki dalam hidup, pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz, 37, itu cukup sedar, siapalah dirinya untuk menolak takdir Tuhan.
“Saya masih muda. Lagi pun saya belum punya zuriat. Tak mungkin saya tutup pintu hati saya untuk terima kehadiran orang baharu.
“Saya juga ingin punya sebuah keluarga yang bahagia satu hari nanti,” jelasnya membayangkan masa hadapan yang diharapkan ada sinar di hujung terowong.

Difitnah sahabat sendiri
Selebriti yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Pilih Kasih musim pertama itu bagaimanapun mengakui akan lebih berhati-hati dalam tempoh untuk mengenali mana-mana lelaki. Puncanya, dia serik difitnah kawan baik sendiri.
“Kalau orang kenal saya, mereka akan tahu saya cepat mesra dengan semua orang. Saya layan kawan-kawan macam keluarga saya sendiri.
“Namun tak sangka ada yang salah erti dengan layanan saya sehingga memfitnah saya jatuh hati kepadanya.
“Lebih parah, individu itu membuat fitnah kononnya saya berkahwin kerana kena ‘reject’ dengan dia.
“Apa yang membuat saya kecewa, dia sudah membuat cerita yang tidak betul kepada ramai orang termasuklah ‘client’.

Musuh dalam selimut
“Ada ‘client’ yang ingin bekerjasama dengan saya tetapi dihalang olehnya. Tak faham kenapa dia cuba menutup periuk nasi saya sedangkan dia juga sudah berkahwin,” kongsinya.
Menambahkan rasa kesal di hati pelantun lagu Jadikan Aku Yang Halal Itu, individu yang selama bertahun-tahun disangka sahabat sejati itu rupa-rupanya musuh dalam selimut.
“Saya sangka dia satu-satu sahabat baik lelaki yang saya ada. Rupa-rupanya dalam diam, dia cuba menjadikan saya sebagai musuh.
“Saya tak faham kenapa dia buat begitu sampai perlu tutup periuk nasi saya. Jika betul ada perkara yang dia tidak puas hati, dia boleh berterus terang dengan saya.
“Tergamak cakap saya kahwin kerana ‘frust’ kena ‘reject’ dengan dia. Apa perasaan bekas suami saya. Sedangkan saya berkahwin dengan bekas suami adalah atas dasar cinta dan suka sama suka.
“Sekelumit pun saya tak pernah ada hati kepadanya. Boleh tanya sahabat-sahabat saya mereka lebih tahu saya sukakan lelaki yang macam mana,” ujarnya.
Ditanya bagaimana sekiranya satu hari nanti mereka akan bertemu empat mata di mana-mana acara, Zulin bertegas, tidak ingin lagi bersua muka dengan individu tersebut.
“Saya akan elak selagi boleh untuk bertemu empat mata dengan-nya. Lagi pun sehingga detik ini dia tidak tahu yang saya sudah tahu tentang fitnah yang ditaburkan buat saya,” jelasnya.
Tutup kisah sakit hati, Zulin kini hanya mahu fokus kepada kerjaya, terutama nyanyian. Dia sudah merancang untuk mengeluarkan beberapa buah single hasil tulisannya sendiri.
“Banyak lagu yang sudah siapkan termasuklah untuk penyanyi lain. Ada lagu berkisarkan hidup saya.
“Saya suka meluahkan segala dalam lagu. Pada saya itu adalah cara untuk saya ‘healing’ selepas melalui pelbagai episod suka dan duka dalam hidup.
“Hampir empat tahun saya berhenti mencipta lagu kerana fokus terhadap rumah tangga.
“Namun, kini saya solo. Jadi ada banyak waktu untuk terus berkarya dan fokus kepada bidang seni, terutamanya bidang muzik yang amat saya cintai,” katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu raya berjudul Drama Raya bersama kumpulan Kimbab.















