MEKAH – Dalam kesesakan jutaan manusia yang memenuhi bumi Mina sepanjang musim haji, kewujudan pasukan ronda perubatan Tabung Haji (TH) menjadi antara elemen paling penting dalam memastikan keselamatan jemaah Malaysia terpelihara.
Walaupun bergerak di sebalik kesibukan lautan manusia, pasukan yang dianggotai 30 petugas itu dianggap sebagai tulang belakang operasi perubatan di Mina kerana sentiasa bersiap siaga membantu jemaah memerlukan rawatan kecemasan.
Timbalan Ketua Peronda Perubatan Haji, Dr Amir Suhaimi berkata, kesemua anggota dibahagikan kepada lapan kumpulan dan bergerak secara berkala setiap satu jam bagi memantau keadaan jemaah di sekitar Mina termasuk laluan melontar jamrah.
Menurutnya, setiap anggota telah menjalani latihan termasuk kemahiran bantuan asas kecemasan bagi membolehkan rawatan awal diberikan terus di lokasi kejadian.
“Kita akan bergerak secara berkumpulan dan membuat rondaan secara interval setiap satu jam. Jika ada kecemasan, kita akan terus beri bantuan awal di lokasi.
“Kalau kes itu ringan, rawatan akan dibuat di tempat kejadian sahaja dan jemaah boleh terus pulang ke penginapan masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Dr. Amir berkata, antara kes ringan yang sering diterima pasukan ronda perubatan ialah jemaah terseliuh, terjatuh sehingga mengalami luka kecil selain sakit pinggang akibat terlalu lama berjalan dan berdiri.
Katanya, semua kes berkenaan diberikan rawatan segera di lokasi tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan lain.
“Semalam ada juga kes yang agak berat sedikit, namun tiada yang terlalu kritikal dan kita masih dapat mengawalnya dengan baik,” ujarnya.
Katanya, bagi kes lebih kritikal, pasukan berkenaan akan membuat penilaian segera sebelum memutuskan sama ada jemaah perlu dirujuk ke klinik kecemasan atau hospital.
Beliau berkata, cabaran utama operasi ronda perubatan di Mina ialah kesesakan jutaan jemaah dari seluruh dunia yang turut menggunakan laluan sama terutama ketika waktu puncak pergerakan.
“Ada masa kita berdepan sedikit kelewatan kerana laluan terlalu sesak dengan jemaah negara lain,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua anggota sentiasa komited menjalankan tugas demi memastikan jemaah haji Malaysia mendapat bantuan perubatan secepat mungkin sepanjang berada di Mina.- KOSMO! ONLINE














