KUALA LUMPUR – Pemberian Baucar Buku Madani bernilai RM100 diteruskan kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan mahasiswa institusi pengajian tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat berikutan aspek pendidikan serta akses kepada bahan bacaan tetap perlu diberi keutamaan.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, baucar berkenaan hanya melibatkan dua kategori berkenaan sahaja selepas mengambil kira kemampuan kewangan semasa negara.
“Walaupun negara masih berdepan cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat, tetapi fokus pada pendidikan tidak boleh dikompromi.
“Jadi, baucar RM100 yang diterima sejak beberapa tahun lalu tetapi diteruskan. Namun, saya ingin tekankan keupayaan kita hanya sekolah menengah di bawah KPM dan pelajar universiti di bawah KPT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Terdahulu, baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid tahun 4 ke atas, manakala RM100 kepada pelajar sekolah menengah, kolej vokasional, tingkatan enam, matrikulasi, dan institut pendidikan guru. – KOSMO! ONLINE














