IMPAK kesungguhan dan konsistensi selama enam tahun membina pengaruh dalam dunia lakonan, pemilik nama pentas Trisha Ooi kini tidak perlukan introduksi panjang lebar.
Bermula dengan drama Risik Pada Hati yang melebarkan lagi langkahnya hingga ke layar letak, wajah pemilik nama lengkap Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 26, itu semakin mesra di televisyen dan pawagam.
Dalam kesibukan mengejar cita-cita sekali gus ‘menjual’ bakat, Trisha memastikan dirinya tidak terpalit kontroversi dan gosip liar apatah lagi dikaitkan dengan mana-mana lelaki.
Bukan takut dihambat kritikan sebaliknya dia yakin jika pandai menjaga diri pasti perjalanan dalam dunia serba mencabar ini dapat dilalui dengan tenang.
“Siapa yang tak ingin berteman, berkongsi cerita tapi hakikatnya saya tiada masa untuk menjalin hubungan serius iaitu bercinta.

Tiada masa bercinta
“Mungkin kerana saya sibuk bekerja.
“Alhamdulillah, kebelakangan ini tawaran berlakon datang tidak putus-putus. Boleh katakan saya tiada masa untuk berasa sunyi.
“Bagus juga, apabila kita fokus terhadap kerjaya, tiadalah timbul cerita kurang manis. Apa pun kena pandai jaga diri. Ketika rezeki ‘banyak’ masuk, saya fokus sahaja pada kerja serta keluarga,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Begitupun, akui anak bongsu daripada dua bersaudara itu, andai suatu masa nanti dipertemukan dengan lelaki yang tepat, dia tidak akan berahsia.
“Mungkin kedengaran agak klise tetapi jodoh, ajal dan maut itu ketentuan Tuhan. Bercinta bertahun-tahun pun kalau dia bukan jodoh kita kena terimalah.
“Semua itu berbalik kepada takdir dan cepat atau lambat sahaja. Selagi belum berteman bermakna saya diberi kesempatan untuk menjaga keluarga.
“Tapi jika jodoh sudah sampai, saya takkan berahsia. Kenapa nak berahsia? Lebih elok kita perkenalkan dan minta doa yang baik-baik berbahagia hingga ke jenjang pelamin,” ujarnya.

Tinju hanya hobi
Selain dikenali sebagai penggiat seni, pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 menerusi filem Janna Endoro itu juga aktif dalam sukan tinju.
Ketika sibuk dengan promosi filem barunya, Nar’sata: Sekutu Setan, beberapa bulan lalu Trisha juga banyak ‘berkampung’ di pusat latihan bagi menghadapi pertandingan di Dubai.
Walaupun sukan lasak itu hanya sebagai hobi, dia akhirnya mengharumkan nama negara apabila meraih kemenangan dalam kejohanan tinju antarabangsa, All Star Championship: Dubai Edition di Round 10 Boxing Club, Dubai, pada 4 Mei lalu.
Trisha menewaskan wakil Indonesia, Dinda Anwar dalam kategori flyweight sekali gus membawa pulang tali pinggang ke tanah air.
Sekali gus Trisha bersyukur dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil pengorbanan besar sepanjang beberapa bulan membuat persediaan.
“Ini bukan sekadar pertarungan. Sebaliknya hasil pengorbanan selama berbulan-bulan, disiplin, titisan air mata dan usaha melangkaui batas kemampuan yang saya sendiri tidak pernah sangka miliki,” ungkapnya.
Biarpun bertubuh kecil molek, figura yang memulakan kerjaya sebagai pelakon lagak ngeri itu tampak penuh bersemangat melakukan aktiviti yang menjadi kegemarannya.
Begitupun, ketika ditanya sama ada mahu menjadikan sukan tinju sebagai kerjaya profesional, dia terdiam seketika.
Baginya, cukuplah aktiviti yang sarat disiplin itu sebagai hobi sekali gus menguatkan mental serta fizikalnya memandangkan sukan tersebut sudah lama diceburi.

Masuk kubur 4 pagi
Bukan kerana bimbang aset utama iaitu wajah tercedera, cuma katanya buat masa ini fokus utama adalah dunia lakonan yang masih perlu banyak diperbaiki.
“Kedua-dua bidang ini ada kelebihan. Sukan lasak itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri yang susah untuk saya huraikan.
“Apa pun saya memang tidak merancang untuk bergelar peninju profesional, masuk pertandingan pun suka-suka sahaja.
“Biarlah saya bagi tumpukan kepada lakonan dahulu. Banyak lagi yang belum dapat saya penuhi dalam arena ini. Doakan saya,” ungkapnya.
Berkongsi mengenai filem seram Nar’sata: Sekutu Setan yang ditayangkan pada 21 Mei lalu, naskhah arahan Pierre Andre itu merupakan karya yang ditunggu-tunggu.
“Sebenarnya selepas kemenangan di FFM33, saya mahu mencari karya yang mampu mencabar kemampuan dan tawaran diberikan datang tepat pada waktunya.
“Banyak ilmu yang saya peroleh di set terutama diberikan banyak peluang menonjolkan kemampuan diri, apatah lagi pertama kali dapat bekerja dengan Pierre.
“Itu juga julung kali saya menggalas watak seram yang berat kerana dalam beberapa projek terdahulu saya dikenali dengan genre aksi dan komedi romantik,” katanya.
Selain Trisha, Nar’Sata: Sekutu Setan terbitan Metrowealth Pictures turut membariskan ramai pelakon hebat termasuk Khatijah Tan, Namron, Ashraf Muslim serta Mawar Rashid.
“Memang filem ini sangat mencabar kemampuan saya malah buat pertama kali juga saya masuk ke dalam kubur pada pukul 4 pagi. Ini pengalaman mahal,” katanya.















