HULU TERENGGANU – Kegirangan sebuah keluarga berkelah di Air Terjun Belukar Bukit, di sini sempena cuti hari kedua Aidiladha, hari ini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas.
Kejadian pada pukul 4.22 petang itu melibatkan mangsa, Muhammad Zahari Mohd. Zain, 26, yang berasal dari Kampung Kelulut, Marang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, mayat Muhammad Zahari ditemui oleh salah seorang sepupunya pada kira-kira 35 minit kemudian.
“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa (Muhammad Zahari) telah meninggal dunia. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sharudin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati beriadah di kawasan air terjun sepanjang musim cuti perayaan dan persekolahan ini, tambahan insiden lemas kerap berlaku di Air Terjun Belukar Bukit. – KOSMO! ONLINE














