MELAKA – Pengalaman berjalan sendirian dalam hutan tebal sambil bergantung hidup dengan air sungai selama 19 hari ketika menyertai ekspedisi Gunung Tahan pada 2008 menjadi detik yang tidak pernah dilupakan buat Nur Umaisarah Sameaun, 39, atau Umai sehingga hari ini.
Umai berkata, dia menganggap kejadian itu sebagai takdir apabila masih diberikan peluang untuk terus hidup meskipun berdepan pelbagai detik cemas termasuk hampir lemas dan mengalami kecederaan pada kaki sepanjang tersesat dalam hutan.
Katanya, ketika kejadian dia merupakan pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan menyertai ekspedisi tersebut bersama 35 peserta lain termasuk pensyarah, pengiring dan malim gunung.
Katanya, insiden berlaku ketika kumpulan mereka dalam perjalanan turun selepas berjaya menawan puncak Gunung Tahan menerusi laluan Merapoh, Pahang sebelum dia tersalah laluan ketika berjalan seorang diri untuk melihat kawasan bonsai berhampiran.
“Saya ingat kawasan itu masih selamat sebab sebelum itu masih nampak khemah dan bendera kumpulan lain, tetapi bila mahu patah balik saya sudah tidak jumpa arah.
“Bila saya tahu sudah tersesat, perkara pertama saya fikir adalah bekalan air dan mengambil keputusan mencari sumber air dengan berpandukan bunyi sungai. Pada hari pertama sesat, memang saya berasa takut serta cemas tetapi perasaan ingin pulang itu melebihi apa pun,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, sepanjang tempoh tersesat dia banyak berjalan di tepi sungai dan masuk semula ke dalam hutan setiap kali bertembung kawasan air terjun, selain bertahan hidup hanya dengan meminum air sungai susulan beg yang mengandungi sedikit lebihan makanan telah hilang.
“Sepanjang sesat, saya usahakan untuk solat walaupun saya tahu solat saya tidak sempurna. Itu juga sebab saya sentiasa berjalan dekat kawasan sungai selain untuk bekalan air kerana lebih mudah untuk saya ambil wuduk dan solat,” katanya.
Umai bagaimanapun berkata, dia tidak mengalami sebarang kejadian mistik sepanjang berada di dalam hutan dan menyifatkan dirinya bukanlah seorang yang kuat seperti disangka ramai.
“Meskipun begitu, saya ada melaungkan azan beberapa kali kerana bimbang jika diri benar-benar ‘disembunyikan’ perkara-perkara ghaib sehingga gagal ditemui pasukan penyelamat.
“Keadaan menjadi lebih buruk apabila saya terjatuh ke dalam sungai ketika cuba melalui kawasan air terjun hingga menyebabkan cermin mata hilang dan hampir lemas sebelum berjaya berpijak pada batu untuk naik ke tebing sungai,” katanya.
Katanya, selepas lebih dua minggu tersesat, dia akhirnya menemui pita penanda merah putih sebelum menyedari dirinya berada di laluan pendakian lain.
“Saya jumpa tapak perkhemahan Kem Sungai Putih di Kuala Tahan sebelum bertemu seorang malim gunung bersama dua pendaki warga asing. Dia kemudian menghubungi renjer hutan untuk memaklumkan penemuan dan keberadaan saya.
“Sepanjang 19 hari tersesat berat badan saya susut 14 kilogram daripada 75 kilogram kepada 61 kilogram. Pengalaman ini adalah pengajaran kepada diri saya dan juga kepada pendaki lain untuk tidak berjalan seorang diri di dalam hutan dan sentiasa kekal dengan ahli kumpulan,” katanya.
Umai berkata, selepas kejadian itu, dia pernah dihubungi keluarga individu hilang termasuk keluarga pendaki Mohammed Hassan Ayat Zainuddin, peserta ekspedisi mendaki Gunung Yong Yap yang hilang ketika perjalanan menuruni gunung berkenaan pada 15 Februari 2009 dan masih gagal ditemui sehingga kini.
Jelasnya, keluarga mangsa meminta pandangannya mengenai usaha dilakukan pihak keluarga ketika kehilangannya di Gunung Tahan.
“Saya beritahu, ibu dan ayah tidak pernah putus berdoa, bersedekah dan mengadakan bacaan Yasin sepanjang saya dilaporkan hilang.
“Tentang usaha alternatif seperti merujuk kepada pengamal perubatan atau bomoh dan sebagainya namun tidak pernah dilakukan mereka,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE















